Projek J Satine: DBKL belum terima laporan lengkap daripada pemaju

Iklan
DBKL masih belum menerima laporan lengkap daripada jurutera perunding projek dan bebas yang dilantik pemaju berhubung kesan keretakan struktur bangunan di Blok C bagi projek J Satine di Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum menerima laporan lengkap daripada jurutera perunding projek dan bebas yang dilantik pemaju berhubung kesan keretakan struktur bangunan di Blok C bagi projek J Satine di Wangsa Maju.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak jurutera perunding bebas telah mengemukakan laporan interim kali pertama pada 30 Disember tahun lalu, namun Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif tidak berpuas hati.

Iklan
Iklan

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, ia berikutan laporan dikemukakan tersebut tidak menunjukkan perincian dan butiran analisis yang lengkap serta tidak mematuhi piawaian.

"Tetapi, DBKL telah membenarkan kerja-kerja 'soil investigation' sahaja dijalankan bermula 30 Disember 2024 di sekeliling bahagian luar bangunan bagi mendapatkan data-data baharu untuk kajian oleh jurutera bebas bertauliah dan perunding jurutera projek.

Iklan

"Kerja-kerja pembinaan yang lain akan dipertimbangkan selepas Datuk Bandar Kuala Lumpur berpuas hati terhadap laporan yang dikemukakan.

"Jurutera perunding bebas yang dilantik pemaju bertujuan menjalankan siasatan dan pemeriksaan menyeluruh terhadap integriti struktur keseluruhannya termasuk asas tapak bangunan dan persekitaran yang di atasnya pembinaan bangunan tersebut sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini dilaporkan, DBKL mengeluarkan arahan henti kerja terhadap sebuah tapak pembinaan di Wangsa Maju di sini selepas terdapat kesan keretakan struktur bangunan.

DBKL berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari berkaitan satu letupan telah berlaku di tapak pembinaan tersebut.

Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Penilaian Dan Pemantauan Projek Swasta yang terlibat dengan insiden kerosakan bangunan pada peringkat pembinaan.

"Tujuannya untuk menilai dan memantau hasil laporan kajian semula keselamatan dan kestabilan bangunan di bawah seksyen 70B(2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang dikemukakan oleh jurutera bebas bertauliah dan perunding jurutera projek yang dilantik pemaju," ujarnya.