KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 kes penipuan haji dan umrah direkodkan melibatkan kerugian RM364,620 sejak awal Januari hingga 2 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sejumlah 44 kes penipuan haji dan umrah melibatkan kerugian RM890,810.53 disiasat pada tahun lalu.
"Orang ramai terutama bakal haji diingatkan supaya berjaga-jaga dengan tawaran pakej visa mujamalah atau furada.
"Kita percaya wujud cubaan penipuan bagi visa haji furada atau visa mujamalah sebagaimana yang berlaku sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Khamis.
Ramli berkata, visa furada dan visa mujamalah merujuk kepada visa yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.
"Visa ini bagaimanapun dikeluarkan hanya untuk orang atau kumpulan tertentu sahaja dan tidak kaitan dengan kuota haji rasmi yang telah diperuntukan Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.
"Namun visa sebegini amat terhad, mahal dan hanya boleh dilakukan pada saat-saat akhir kerana tertakluk kepada keputusan Arab Saudi," katanya.
Menurutnya, ketidakpastian ini secara tidak langsung membuka peluang kepada sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan.
"Maka untuk mengelak dari menjadi mangsa penipuan, individu yang ingin mendapatkan visa furada atau mujamalah ini dinasihatkan untuk berurusan dengan agensi yang dipercayai seperti Tabung Haji.
"Melainkan anda tahu bahawa agensi yang menawarkan visa Furada atau mujamalah tersebut mempunyai ‘networking’ yang kuat dengan kerajaan Arab Saudi," katanya.
Ramli berkata, visa sebegini hendaklah diperolehi ketika di Malaysia.
"Ia tidak akan dikeluarkan ketika di Arab Saudi. Sebarang janji-janji manis bahawa visa akan diberikan di Arab Saudi adalah palsu," katanya.