SEREMBAN -"Saya ingat terbakar sikit-sikit sahaja, rupanya hangus," kata Azhar Ahmad, 65.
Kejadian pada Selasa lalu itu diceritakan semula oleh Azhar selepas rumah pusaka yang didiaminya sekeluarga sejak 20 tahun lalu hangus termasuk peralatan kerjanya berkaitan penyelenggaraan pendingin hawa.
Menurut Azhar, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 1.45 tengah hari oleh adik saudara yang tinggal bersebelahan rumahnya.
"Mujur semasa kejadian tidak ada orang dekat rumah. Isteri dan seorang anak lagi ada di Melaka, manakala saya dan anak lelaki berusia 23 tahun keluar pergi makan tengah hari.
"Adik saudara telefon maklumkan rumah terbakar, saya minta dia padamkan sahaja menggunakan air tangki sebab ingat kebakaran kecil, rupanya sebaliknya," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Azhar berkata, dia bagaimanapun bersyukur kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa walaupun mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang.
"Alhamdulillah ramai yang datang menyantuni kami dekat sini termasuk kepimpinan setempat.
"Buat sementara ini kami tinggal di rumah adik saudara dan akan mendiami rumah peninggalan bapa saudara bersebelahan rumah ini sahaja nanti," katanya.
Ditanya mengenai persiapan Ramadan, bapa enam cahaya mata ini memaklumkan ia akan disambut seperti biasa malah katanya ia bukanlah masalah walaupun mereka kehilangan kediaman.
"Setiap tahun kami sambut secara sederhana, lagipun saudara-mara dekat sini sahaja, selain boleh sambut Ramadan di rumah mak saya di Melaka ataupun mentua di Kuala Pilah," katanya yang reda dengan ujian tersebut.
Dalam pada itu Azhar berkata, anggaran kerugian susulan insiden tersebut kira-kira RM50,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan.