[VIDEO] 'Belum hilang penat mengemas, rumah dilanda banjir lagi'

Iklan

KOTA TINGGI - Tiada kata mampu diungkapkan sebuah keluarga di Kampung Baru Sungai Mas di sini, apabila terus diuji dengan kejadian banjir buat kali ketiga dalam tempoh dua bulan.

Ibu tunggal, Manja Mohd Noar, 59, berkata, kedudukan rumah yang hanya terletak 200 meter dari anak sungai menyebabkan rumah yang didiami bersama dua anak dan tiga cucu kerap dinaiki air terutama ketika musim hujan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada perkara lain yang difikirkan selain daripada menyelamatkan barangan keperluan dan kelengkapan sekolah cucunya memandangkan sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi.

Kerja pembersihan dilakukan di rumah Manja di Kampung Baru Sungai Mas selepas banjir surut sepenuhnya pada Khamis.

"Sebelum ini, ketika banjir kali kedua sebelum Tahun Baharu Cina tempoh hari, memang banyak barang tidak sempat diselamatkan. Katil, tilam dan karpet pun terpaksa buang sebab rosak.

Iklan

"Pada awal pagi semalam, air naik lagi seawal jam 5 pagi, saya kejut dan kami mula pindahkan barangan yang penting terutamanya baju sekolah cucu. Paras air banjir mencecah hampir satu meter.

"Kalau barangan sekolah itu tak selamatkan, tak tahu mana nak cari duit untuk beli. Sekolah dah nak mula, puasa pun makin dekat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Manja turut berkongsi detik mencemaskan ketika banjir kali kedua kerana dikejutkan dengan kehadiran suara buaya berdekatan rumah mereka selepas limpahan air sungai berdekatan akibat banjir.

Abdul Waris Mohd Najib, 12, menunjukkan baju sekolah agama yang sempat diselamatkan ketika banjir pada awal pagi Rabu.

"Anak saya terdengar suara buaya berdekatan rumah semasa mahu keluar berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Sebelum keluar rumah anak saya pesan berhati-hati kerana terdengar suara buaya berdekatan rumah. Semasa kejadian hanya saya yang belum keluar untuk berpindah manakala yang lain sudah pergi ke PPS.

"Sebelum ini, penduduk pernah nampak buaya semasa memancing di sungai di kampung ini," katanya.

Manja menunjukkan ketinggian paras air ketika rumahnya di Kampung Baru Sungai Mas dilanda banjir.

Dalam pada itu, anaknya Amalia samad, 37, mengakui agak ‘letih’ berdepan situasi itu kerana baru selesai mencuci rumah akibat dua kejadian banjir sebelum ini.

Beliau berharap tindakan dapat diambil untuk mendalamkan sungai bagi mengelak banjir berulang.

"Saban tahun terutama pada hujung tahun kami berdepan banjir. Selama 11 tahun kami diuji dengan bencana ini.

"Kami pun dah penat membasuh rumah dalam masa banjir beberapa kali ini, rumah pun dah kosong tiada barang sebab semua sudah rosak.

"Kami harap penempatan baharu yang dirancang dapat disegerakan untuk penduduk mendapat kediaman lebih selesa tanpa perlu berdepan banjir lagi," katanya.

Sementara itu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi ditutup sepenuhnya pada jam 8.30 pagi Khamis.

Menurut maklumat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, penutupan PPS itu melibatkan Dewan Muafakat Taman Desaru, Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar.

Pada Rabu, ketiga-tiga PPS dibuka bagi menempatkan lebih 370 penduduk terjejas banjir dari Taman Desaru Utama, Kampung Baru Sungai Mas dan Taman Penawar Harmoni, berikutan hujan lebat yang berlaku pada awal pagi.