Kutip makanan tamat tempoh dalam tong sampah demi alas perut

Iklan
Jani bersama keluarganya di hadapan rumah Kampung Darat Batu Rakit

KUALA NERUS - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal bersama isterinya terpaksa mengambil makanan tamat tempoh yang dibuang di tong sampah berhampiran pasar raya demi meneruskan kelangsungan hidup untuk menyara dan mengalas perut ahli keluarganya.

Iklan
Iklan

Jani Yusof, 62, berkata, makanan yang dikutip itu bukanlah sisa makanan namun barangan yang masih berbungkus selepas dibuang pemilik pasar raya kerana sudah tamat tempoh.

"Makanan itu masih boleh digunakan antaranya bawang, biskut, serbuk teh, kopi, tepung gandum dan susu demi mengalas perut kami lima beranak.

Iklan

"Saya tak ambil sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah. Tak sanggup nak bagi anak-anak makanan yang sudah basi sebab tahu boleh mendatangkan bahaya pada kesihatan.

Jani bersama keluarganya di hadapan rumah Kampung Darat Batu Rakit

"Kebiasaan makanan yang diambil masih boleh dimakan dan bungkusan makanan itu belum dibuka cuma sudah tamat tempoh sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Darat Batu Rakit, di sini, pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Jani berkata, setiap hari dia bersama isterinya Maznah Abu Bakar, 43, akan menaiki motosikal roda tiga untuk mencari bahan kitar semula bagi mencari rezeki.

"Kami akan mencari barangan terbuang seperti botol, besi buruk dan plastik di sekitar Kuala Nerus untuk dijual kepada pembekal.

"Pendapatan yang diraih tak sampai RM200 sebulan. Memang tidak cukup untuk sara keluarga memandangkan isteri saya tidak bekerja atas faktor menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan asma," ujarnya.

Jani bersama isterinya dengan bahan kitar semula yang dikumpul

Dalam pada itu, Jani berkata, ketika ini dia menerima bantuan sara hidup daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM4,000 setahun dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan.

"Namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk kami lima beranak melibatkan perbelanjaan sekolah kedua anak lelaki iaitu iaitu Muhammad Aqil Azhari, 8, dan Muhammad Syahrin Izzudin, 7 yang masih bersekolah selain kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

"Disebabkan itu, saya dan isteri masih lagi mencari barangan terbuang seperti botol, besi buruk dan plastik untuk menambah pendapatan memandangkan faktor kesihatan kami yang tidak begitu baik menghalang kami bekerja biasa seperti orang lain," jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di rumah Jani mendapati rumah didiami tersebut agak daif dan pembinaannya tidak sempurna kerana menggunakan papan lapis dan kain rentang buangan sebagai dinding rumah tersebut.

Jani bersama keluarganya di hadapan rumah Kampung Darat Batu Rakit

"Perca kain yang ditampal dijadikan sebagai tirai pemisah. Selain itu, apabila menemui papan, kayu, perca kain dan kain rentang ketika mencari barang terbuang maka kita akan kutip untuk dijadikan sebagai dinding rumah.

"Kalau musim tengkujuh, memang kami basah terkena tempias namun apakan daya itu sahaja kemampuan yang ada buat masa sekarang.

"Jadi saya berharap ada pihak yang boleh membantu saya membina rumah yang lebih selesa pada masa akan datang," ujarnya.

Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghubungi Jani di talian 019-4133790 atau menghulurkan bantuan melalui akaun Jani Yusof di BSN (1110229000203323).