KPDN sita tepung gandum lebih 5 tan

Iklan
Pegawai penguat kuasa KPDN Perak memeriksa beg mengandungi tepung gandum yang disimpan melebihi had di sebuah kilang biskut di Gunung Rapat di Ipoh pada Rabu.

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita lebih lima tan tepung gandum kerana disyaki disimpan melebihi had simpanan ditetapkan di sebuah kilang biskut di Gunung Rapat di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota KPDN Perak yang menjalankan pemeriksaan barang kawalan iaitu tepung gandum kerana disyaki disimpan melebihi had ditetapkan di dalam lesen.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, operasi berkenaan hasil pemeriksaan di beberapa buah premis sekitar Ipoh.

"Semakan mendapati kilang memiliki permit menyimpan barang kawalan berjadual iaitu tepung gandum dengan had kuantiti simpanan dibenarkan sebanyak 5,000 kilogram (kg).

Iklan

Kamalludin berkata, susulan itu pihaknya bertindak menyita sebanyak 235 beg tepung gandum dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,181.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan gagal mematuhi arahan diberikan di bawah permit yang dikeluarkan iaitu menyimpan barang kawalan berjadual tepung gandum melebihi had simpanan ditetapkan.

Iklan

"KPDN ingin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berkenaan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 122," katanya.

Menurut Kamaluddin, sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi syarikat pula sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.