Berani buka kedai makan, warga asing ditahan JIM

Iklan
Kumpulan pekerja warga asing ditahan JIM dalam satu serbuan di sebuah medan selera di Pusat Bandar Puchong, Selangor pada Selasa. Foto JIM

PUTRAJAYA - Berselindung di sebalik pas lawatan tamat tempoh dan kad pelarian UNHCR, sekumpulan warga asing berani buka kedai makan di sebuah medan selera di Pusat Bandar Puchong, Selangor.

Namun helah tersebut gagal mengaburi mata orang awam apabila maklumat itu disampaikan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah bertindak menggempur sebuah premis medan selera yang dipercayai diusahakan oleh warga asing dari Myanmar dan Bangladesh yang berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah tamat tempoh serta pemegang kad pelarian UNHCR dalam satu operasi bersepadu pada Selasa.

Beliau berkata, medan selera yang beroperasi di atas tanah persendirian yang berkeluasan 1.6 hektar di Pusat Bandar Puchong itu diserbu oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM serta dibantu oleh pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Bahagian ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Iklan

Kata beliau, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan oleh JIM selama satu minggu.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 95 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke premis tersebut dan memeriksa seramai 102 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan warganegara tempatan.

Iklan

Kumpulan pekerja warga asing ditahan JIM dalam satu serbuan di sebuah medan selera di Pusat Bandar Puchong, Selangor pada Selasa. Foto JIM

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 58 warganegara asing yang terdiri daripada 31 lelaki dan 10 perempuan warganegara Myanmar, dua lelaki dan satu perempuan warganegara Indonesia, sembilan lelaki warganegara Bangladesh, empat lelaki warganegara India dan satu lelaki warganegara Vietnam telah ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Perkara 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua warganegara asing yang ditahan berusia di antara 18 hingga 40 tahun telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Tegas beliau, JIM tidak akan sama sekali berkompromi terhadap warganegara asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa serta menyalah guna pas di negara ini.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," ujarnya.