SEPANG - Kes seorang lelaki yang menampar isterinya di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan di sini telah dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya Selangor.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kertas siasatan telah disiapkan dan polis pada masa ini masih menunggu keputusan lanjut daripada pihak timbalan pendakwa raya.
"Suspek telah dibebaskan dan diberi jaminan polis," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan polis berjaya menangkap suspek sekitar jam 10 pagi pada Sabtu.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan di hadapan Klinik Fuziah, Kota Warisan di sini.
Sebelum ditangkap, suspek membawa isteri dan anaknya tidur di Nilai, Negeri Sembilan sebelum menghantarnya pulang ke rumah.
Selepas menghantar isteri dan anak, suspek bertindak keluar rumah dan tidak pulang selepas itu dipercayai takut ditahan pihak polis.
Malah hasil siasatan dijalankan pihak polis mendapati suspek bersembunyi dan tidur di dalam kereta.
Sebelum ini tular satu rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah sambil memegang bungkusan plastik, sebelum seorang lelaki menghampiri dan menamparnya di khalayak ramai.