Jakim muktamad garis panduan penglibatan orang Islam dalam perayaan lain

Iklan
Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan satu garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan selain Islam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga melengkapi Garis Panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan.

"Antara kandungannya ialah berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Iklan

"Contohnya ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agamanya serta persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang bertanyakan pendirian dan ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan yang turut melibatkan orang Islam yang perlu menjaga akidah dan pada masa sama memelihara perpaduan pelbagai kaum.

Iklan

Garis panduan itu katanya, antara lain merangkumi pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.

Lokasi majlis juga mestilah tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf serta premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.

"Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan,” katanya.

Jelas Mohd Na'im, kerajaan sentiasa tegas dan berpendirian bahawa akidah umat Islam mestilah dijaga dan pada masa sama memelihara perpaduan pelbagai kaum dan agama dalam masyarakat Malaysia.

Perkara ini katanya, selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

"Justeru, Jakim mengambil ketetapan dengan mengeluarkan beberapa garis panduan berkaitan perkara ini.

"Antaranya ialah Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-68 pada 12 April 2005 dan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 2024,” katanya.