KUALA NERUS - Program himpunan motosikal RXZ Members 7.0 yang bakal diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di sini pada 22 hingga 23 Ogos depan mensasarkan penyertaan seramai 100,000 peserta dari seluruh negara.
Penganjurnya, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, acara tersebut masih diteruskan pada tahun ini berikutan mendapat permintaan tinggi daripada peminat motosikal itu yang mahu himpunan berkenaan diadakan di Terengganu.
"Kita masih adakan di lokasi sama iaitu Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak disebabkan ramai permintaan daripada orang luar yang mahu perhimpunan ini masih diadakan di Terengganu.
"Alhamdulillah, tahun lepas acara tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara. Sebelum ini lebih 90,000 peserta yang datang ke Terengganu.
"Jadi kita sasarkan penyertaan kira-kira 100,000 peserta dari seluruh negara untuk sertai RXZ Members 7.0 pada tahun ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamad Faizal berkata, penganjuran program sedemikian di Terengganu dapat memberikan limpahan ekonomi dan peluang kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan.
"Ramai penduduk setempat mendapat manfaat dengan adanya penganjuran himpunan seperti ini terutama pengusaha inap desa dan kedai makan.
"Acara ini dapat memberi limpahan ekonomi kepada Terengganu, sekali gus menjadikan himpunan ini antara program tarikan pelancongan di Terengganu serta dinantikan setiap tahun terutamanya oleh peminat motosikal," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Faizal menasihati peserta himpunan itu supaya mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan mereka untuk menyertai RXZ Members 7.0.
"Sebelum program diadakan, kita akan berbincang dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dari segi aspek keselamatan, garis panduan dan sebagainya.
"Kita juga membuat hebahan menerusi media sosial kepada peserta supaya supaya menitikberatkan pematuhan jalan raya dan mematuhi undang-undang sedia ada," jelasnya.