Pasangan kekasih terlepas hukuman mati

Iklan
Wei Xiong dan Chai Ying (kanan) dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dan memiliki dadah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Sepasang kekasih terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan memiliki dan mengedar dadah, lima tahun lalu.

Hakim Noor Hayati Che Mat melepas dan membebaskan Teng Wei Xiong, 27, dan Chai Ying, 22, selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pemilikan dadah oleh kedua-dua tertuduh selain mereka mempunyai niat bersama-sama untuk mengedar dadah.

Noor Hayati memberitahu, keputusan itu dibuat selepas menilai semula keseluruhan keterangan kes dan membaca hujahan bertulis yang difailkan.

Iklan

"Kedua-dua tertuduh menafikan mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan terhadap dadah yang dijumpai.

"Terdapat percanggahan keterangan yang menjejaskan nilai keterangan saksi SP3 (saksi pendakwaan) dan SD5 (saksi pembelaan), percanggahan ini harus memihak kepada pendakwaan.

Iklan

"Dengan wujudnya keraguan dan percanggahan di atas, maka setelah membuat penilaian secara maksimum, saya dapati pembelaan berjaya disanggah bawah s37da (Akta Dadah Berbahaya 1952) dan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Maka dengan itu, kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan ke atas mereka," katanya.

Sebelum itu, kedua-dua mereka didakwa secara niat bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine dan tuduhan memiliki dadah.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar 112 gram methamphetamine dan mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan mereka, didakwa memiliki 136.68 gram dadah yang mana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Jalan Rusa 3 di sini pada jam 9 malam pada 5 Mei 2020.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Juliana Jaafar manakala Wei Xiong diwakili peguam Muhammad Abd Kadir dan Khairul Nadia sementara Chai Ying diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.