KUALA LUMPUR - Malaysia akan mengambil langkah strategik bagi mengimbangi kepentingan negara dalam menghadapi perubahan dasar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) di selain kekal mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan berkecuali.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan malah menjelaskan, Malaysia akan memanfaatkan peluang untuk terus memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama sedia ada dengan negara itu.
"Pentadbiran baharu AS kini yang mengamalkan dasar America First, berpotensi mengubah pendekatan negara itu dalam hubungan luar dan secara tidak langsung memberi kesan kepada Malaysia.
"Sebagai sebuah negara yang ekonominya banyak bergantung kepada perdagangan, kita pasti akan merasai kesannya secara langsung atau tidak langsung, namun turut meneliti keadaan ini dan laporan-laporan akan dibentangkan kepada Kabinet dari semasa ke semasa," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pendekatan Malaysia mengimbangi hubungan ASEAN bersama BRICS dengan mengambil kira ancaman ekonomi AS di bawah kepimpinan Presiden, Donald Trump.
Dalam pada itu Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan, dasar luar Malaysia juga mendokong kepentingan pelbagai hala bagi membolehkan negara ini dan masyarakat antarabangsa menangani cabaran global yang semakin mendesak.
"Malaysia kekal komited untuk menjalin hubungan kerjasama dengan negara lain, yang membolehkan negara ini diterima sebagai anggota baharu dengan status 'country partner' dalam BRICS.
"Negara anggota sedia ada juga akan menilai sejauh mana komitmen Malaysia sebelum menerima sepenuhnya keanggotaan dalam blok itu," ujarnya.