PADANG TERAP - Seorang peniaga kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Nerang di sini pada Selasa atas pertuduhan mengugut hendak menyebabkan kematian lima remaja dan menggunakan senjata api di tempat yang tidak dibenarkan.
Tertuduh, Yusooff Salleh, 57, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak menyebabkan kematian kepada lima remaja berusia 15 dan 16 tahun pada 27 Januari lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11 pagi di kedai makan dan runcit Yusooff NBY Bagan Jalan Nami, Naka.
Oleh yang demikian dia boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, lokasi dan jam yang sama, tertuduh didakwa melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis senapang patah Fair Premier No Siri 231317 di tempat yang tidak dibenarkan secara bertulis untuk digunakan sebagai padang tembak oleh ketua pegawai polis bagi negeri di mana tempat itu terletak.
Oleh yang demikian, dia telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang membawa kepada penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien manakala tertuduh diwakili peguam, Murtazadi Amran dan Izwan Khudzir.
Semasa prosiding, Nasruna tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin.
Bagaimanapun, Murtazadi memohon jaminan diberikan dengan alasan tertuduh belum dibuktikan bersalah selain menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.
Mahkamah kemudian membenarkan Yusooff diikat jamin RM8,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat polis terdekat serta dilarang mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dipercayai memanggil kelima-lima remaja berkenaan selepas mengesyaki mereka telah mencuri wang di kedai miliknya berjumlah RM5,000.
Dia dikatakan memaki hamun remaja-remaja berkenaan dan menuduh mereka mencuri wang itu serta pada masa sama melepaskan empat das tembakan menggunakan senapang patah ke udara bertujuan untuk mengugut.
Polis menahan suspek sehari kemudian serta merampas senapang patah, kelongsong peluru dan kad senjata Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tertulis nama suspek.