SHAH ALAM - Pas menyambut baik langkah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerapkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan al-Quran di 23 Sekolah Menengah Agama (SMA) di bawah seliaannya.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, inisiatif itu selaras ajaran Islam yang menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan kajian saintifik yang dapat diekplorasi dalam disiplin ilmu wahyu.
Menurutnya, menghubungkan STEM dengan ilmu al-Quran merupakan pelaksanaan relevan dalam usaha membentuk pelajar menguasai bidang STEM ke tahap lebih tinggi serta memberi manfaat kepada kehidupan sejagat.
"Pas Selangor pada masa sama mengecam sekeras-kerasnya pihak yang memperlekeh usaha murni ini dan mempertikaikan keselarasan antara al-Quran dan STEM.
"Tanggapan bahawa Islam tidak mendukung kemajuan sains dan teknologi adalah satu pandangan dangkal serta tidak berasaskan fakta sejarah Islam," katanya menerusi satu kenyataan.
Pada Sabtu lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mula menerapkan bidang STEM di 23 SMA bawah seliaan JAIS tahun ini.
Amirudin memberitahu, program dibangunkan Yayasan Restu dirangka khusus untuk menghubungkan bidang STEM dengan nilai-nilai terkandung dalam al-Quran.
Ujar beliau, ia juga bertujuan menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai kebesaran ALLAH SWT melalui pendekatan saintifik.
Ab Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berkata, dunia Islam melahirkan ramai ilmuwan unggul dalam bidang STEM seperti al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan al-Biruni yang menjadi rujukan dunia termasuk Barat sehingga hari ini.
"Sebagai alumni sekolah JAIS dan berpengalaman terlibat dalam sektor pendidikan di Institut Pengajian Tinggi (IPT), saya mewakili Pas Selangor menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, dan masyarakat di Selangor untuk menyokong pelaksanaan inisiatif ini.
"Langkah ini demi pembangunan dan keberhasilan modal insan rakyat Selangor yang lebih baik," katanya.