SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang gadis menempuh detik hitam dalam hidup selepas terpedaya dengan janji manis seorang lelaki dikenalinya di menerusi satu aplikasi media sosial.
Berkongsi dengan Sinar Harian, Liya (bukan nama sebenar) berkata, dirinya tidak menyangka perkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Arman akhirnya membawa trauma dalam hidupnya.
Menceritakan kisah berlaku lebih lima tahun lalu, dia yang juga pelajar akhir sebuah kolej swasta berkata, individu terbabit berusia lingkungan awal 40an mengaku terlibat dalam bidang perniagaan.
"Perwatakan dipamerkannya sebagai seorang mentor yang baik, sering memberikan kata-kata semangat serta berkongsi kisah kejayaan kepada saya.
"Dia juga sering menasihati saya sentiasa berani mengambil peluang yang ada sekiranya mahu berjaya dalam hidup," katanya.
Katanya, mereka kerap berbual di media sosial sebelum Arman mengajaknya bertemu di sebuah kafe bagi membincangkan peluang pekerjaan.
"Pada mulanya, pertemuan itu berjalan lancar apabila Arman kelihatan profesional dan meyakinkan, namun selepas sesi perbincangan, dia mengajak saya ke sebuah apartmen berdekatan untuk melihat beberapa dokumen perniagaan.
"Tanpa mengesyaki sesuatu, saya mengikutinya. Bagaimanapun, sebaik memasuki apartmen, situasi berubah apabila Arman menunjukkan sisi sebenarnya," katanya.
Menurutnya, Arman tiba-tiba bertindak agresif dan mula menyentuh dirinya dengan cara tidak sepatutnya.
"Arman mendekati saya dan meminta supaya tidak takut dengan perbuatannya itu, dia mengatakan bahawa dirinya dahagakan belaian.
"Saya cuba melawan tetapi tidak cukup kuat, dia memperlakukan saya sewenang-wenangnya selain merakam kejadian itu dan mengugut agar tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya.
Kejadian hitam itu mengakibatkan Liya diselubungi trauma dan hilang keyakinan diri selain mula menjauhkan diri daripada keluarga serta rakan.
"Namun, setelah beberapa lama memendam derita, akhirnya saya nekad bangun semula dan mencari bantuan.
"Saya menghubungi pusat kaunseling dan membuat laporan polis sebelum mendapat tahu bukan saya seorang pernah menjadi mangsa Arman, malah beberapa gadis lain turut menjadi mangsa perbuatan kejinya," katanya.
Jelas Liya, dirinya bersyukur kerana Arman akhirnya berjaya diberkas dan bakal berdepan tindakan undang-undang.
"Pertahankan hak dan jangan sesekali terpedaya dengan mana-mana individu yang baru dikenali menerusi aplikasi sosial.
"Saya tak mahu ada orang lain mengalami apa yang saya lalui. Kalau ada yang menjadi mangsa, jangan berdiam diri tetapi segera dapatkan bantuan kerana anda tidak bersendirian," katanya.
Sinar Harian menerusi laporan khas pada Selasa melaporkan aplikasi media sosial dan cari cinta (dating apps) dikesan digunakan penjenayah seksual untuk berkenalan hingga menjerat mangsa terutama kanak-kanak.
Buktinya, statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan sejumlah 633 kes tahun lalu membabitkan aplikasi Facebook, Google, Instagram, Leomatch, Omi, telegram, TikTok, WeChat, WhatsApp, Bumble, Litmatch dan Tinder.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kajian dijalankan berdasarkan kes direkodkan mendapati media sosial dijadikan sebagai platform kepada pelaku mencari dan mengenal pasti mangsa.
Ujarnya, pelaku akan mencari dan 'mendekati' mangsa menggunakan nama samaran atau identiti palsu.
Jelas beliau, suspek bukan mencari secara rambang, sebaliknya akan kenal pasti mangsa terlebih dahulu dan ketahui apa aktivitinya, minat sebelum berkenalan untuk membina persefahaman.