Insiden tragis seorang wanita warga emas maut diserang 11 anjing liar di Terminal Bas Kunak di Sabah baru-baru ini menunjukkan betapa seriusnya isu kawalan haiwan itu perlu dilaksanakan.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa berusia lingkungan 60-an itu dikerumun dan diserang kumpulan anjing tersebut.
Mayat wanita itu ditemukan dalam keadaan terbaring tanpa pakaian dengan kesan gigitan haiwan di beberapa bahagian badan termasuk tangan kiri, kepala, dada, pinggang dan kedua-dua belah kaki.
Kejadian serangan anjing liar ini bukanlah yang pertama kali berlaku di dalam negara ini. Antara kes lain, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Sungai Tohok, Semporna, Sabah pada November 2024.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan gigitan di beberapa anggota badan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan ke Hospital Semporna.
Dalam kejadian di Melaka, seorang murid Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selandar cedera diserang dua ekor anjing liar di Taman Kenari, Durian Tunggal pada September 2020.
Mangsa berusia 12 tahun sedang turun dari kenderaan untuk membuka pintu pagar rumah sebelum diserang dan dikejar dua ekor anjing yang berkeliaran di taman perumahan tersebut. Insiden itu menyebabkan mangsa jatuh tersembam dan mengalami luka di seluruh badan termasuk kaki dan tangan.
Di Kuala Lumpur, seorang kanak-kanak cedera diserang anjing liar ketika berjalan pulang ke rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju dalam kejadian April 2021.
Mangsa berusia 11 tahun dikejar dan diterkam haiwan itu menyebabkannya mengalami cedera bahagian kepala, lengan kiri, betis kaki kanan dan belakang badan.
Di Selangor, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menerima 15 jahitan selepas diserang dan digigit dua anjing liar di kawasan rumahnya di Pangsapuri Taman Suria, Klang dalam kejadian Mac 2024.
Ketika kejadian, mangsa sedang membuang sampah bersama ibu saudara dan akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah iaitu luka besar di kepala, telinga, kaki serta tangan.
Beberapa contoh kes di atas menunjukkan insiden anjing liar bukan hanya tertumpu di sesuatu kawasan sebaliknya masalah ini dihadapi di semua negeri. Pembanterasan anjing liar ini bukan bersifat rasis atau kejam kepada haiwan itu sebaliknya lebih kepada aspek keselamatan yang membahayakan nyawa.
Kebanyakan serangan anjing liar ini adalah kes luar jangka, serangan adakala bukan disebabkan provokasi atau kekerasan terhadap haiwan berkenaan tetapi boleh berlaku kerana isu kelaparan.
Isu kawalan anjing liar telah dibangkitkan banyak kali bukan hanya oleh rakyat biasa, malah juga pemimpin setempat juga wakil rakyat.
Justeru, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan kaedah kawalan dan pencegahan serta penangkapan anjing liar ini seharusnya disokong.
Sepatutnya tiada unsur campur tangan pihak tertentu khususnya oleh pencinta haiwan dalam menangani isu berkenaan.
Apabila kejadian-kejadian seperti ini berlaku, orang ramai pastinya menuding jari menyalahkan PBT yang didakwa tidak menjalankan tugas. Sedangkan apabila aspek penguatkuasaan dijalankan, PBT dituduh kejam dan tiada perikemanusiaan.
Aspek kawalan pencegahan dan kawalan ini juga perlu mendapat kerjasama dalam kalangan masyarakat awam sendiri dengan melaporkan kepada PBT supaya tangkapan anjing liar boleh dilakukan secara konsisten.
Pada masa sama, penyelesaian isu ini memerlukan pendekatan holistik melalui kawalan populasi dan peningkatan kebajikan haiwan melalui pusat perlindungan haiwan.
Selain itu, kaedah pemandulan untuk mengelak pembiakan tidak terkawal dan program haiwan angkat juga perlu dipergiat bagi mengatasi isu haiwan terbiar bukan sahaja anjing tetapi juga kucing.
* Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian