Penunggang motosikal maut terlanggar lubang

Iklan
Lubang dilanggar menyebabkan mangsa maut di Jejambat Lido, Jalan Lintas, Kota Kinabalu. Foto kanan: Motosikal mangsa.

KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas akibat terlanggar lubang jalan rosak dalam kejadian di Jejambat Lido, Jalan Lintas, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia selepas dua jam lebih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan motosikal yang terbabas sendiri.

"Siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah City Mall menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan semasa melalui lorong tengah jalak, mangsa dipercayai terlanggar lubang pada permukaan jalan raya yang rosak.

Iklan

"Akibat kejadian itu, motosikal tersebut terbabas kira-kira enam meter di hadapan dan menyebabkan mangsa terjatuh serta tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, mangsa kemudian dibawa ke unit kecemasan HQEI untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Iklan

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Pada jam 1.35 petang tadi, pihak polis menerima maklumat daripada pihak hospital bahawa mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan," katanya.

Kasim berkata, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.