KUALA LUMPUR - Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menyeru ahli Parlimen supaya tidak mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.
Dalam kenyataan media, BBC menegaskan bahawa tanggungjawab utama ahli Parlimen adalah memastikan perbahasan di Parlimen kekal konstruktif, berpaksikan data serta menjurus kepada kemajuan negara tanpa dipengaruhi oleh naratif politik yang memecahbelahkan.
"BBC memainkan peranan penting dalam memastikan semak dan imbang dalam kerajaan agar dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Kami akan terus menyuarakan kebimbangan, memberikan maklum balas, dan mengkritik dasar secara membina apabila perlu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, BBC menegaskan bahawa setiap ahli Parlimen harus melaksanakan tugas mereka dengan penuh tertib, berpandukan fakta dan kepentingan negara, bukan sekadar retorik politik.
Bagi memperkukuh budaya Parlimen yang lebih matang, BBC turut menggariskan beberapa inisiatif termasuk Sarapan Bersama Menteri, Friends of Ministry serta taklimat Parlimen yang lebih tersusun.
Usaha ini bertujuan memastikan ahli Parlimen lebih memahami dasar kerajaan sekali gus membolehkan mereka menyampaikan maklumat dengan lebih jelas kepada rakyat.
"Kami menyeru semua ahli Parlimen, tanpa mengira latar politik untuk bersama menjunjung integriti Parlimen dengan mengangkat perbahasan berasaskan fakta serta mengutamakan kepentingan negara melebihi segala-galanya," tambah kenyataan itu.
BBC menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh institusi demokrasi negara dan membina Malaysia yang lebih progresif, inklusif serta bersatu padu.