ALOR SETAR - Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin atas tuduhan membunuh warga emas dan anak angkatnya dalam satu kejadian di Jalan Kota Tanah berhampiran Tongkang Yard di sini pada bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mohd Fitri merupakan anak saudara salah seorang mangsa,manakala Muhammad Haizan adalah kenalannya.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pembunuhan itu secara bersama-sama di sebuah rumah di Lorong Rose, Jalan Kota Tanah.
Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian ke atas Ibrahim Mydin,61, dan Muhammad Muslim Mohd Zaini,23, pada 21 Januari 2025 kira-kira jam 3.30 pagi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan tarikh 14 Mei depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan forensik.
Sebelum ini, media melaporkan seorang warga emas dan anak angkatnya ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard.
Susulan itu, lima suspek berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan sejurus selepas kejadian.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memberitahu, tiga suspek utama didapati positif dadah manakala dua daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Beliau berkata, kes terbabit pada mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Bagaimanapun ia disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis dan forensik bomba menemukan boto berisi petrol dan kesan petrol.