LIPIS - Ikan tapah merupakan spesies ikan air tawar yang menjadi buruan kaki pancing ekoran harganya agak lumayan di pasaran.
Ikan itu atau nama saintifiknya, Wallago attu banyak mendiami kawasan sungai dan tasik besar dengan dasarnya yang berlumpur dan air mengalir perlahan.
Bagi nelayan sungai, Mohamad Syukri Yusof, 45, kali terakhir dia berjaya menaikkan ikan itu empat tahun lalu.
"Selepas sekian lama, seorang rakan saya dari Kuala Tembeling berjaya menaikkan ikan tapah seberat 12 kilogram di Sungai Jelai kira-kira jam 8 pagi tadi.
"Dia menggunakan kaedah tajur dengan umpan ikan puyu dan ditolak kepada peraih dengan harga RM60 sekilogram," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, selain itu penduduk kampung juga menggunakan teknik terubing iaitu memasang perangkap menggunakan kayu di tepi tebing sungai.
"Teknik ini memang tiap tahun dibuat penduduk seperti di Sungai Jelai di kawasan air yang tenang. Selain tapah, pelbagai spesies seperti tenggalan ekor merah dan belida juga diperoleh," ujarnya yang sudah lebih 20 tahun dalam aktiviti tersebut.