PORT DICKSON - Jika sebelum ini ramai yang merungut dengan kehadiran khemah biru, kini rugutan itu beralih pula kepada larangan pemasangan khemah awam yang ditetapkan Majlis Perbandaran Port Dickson(MPPD) di 11 pantai di daerah terbabit.
Peraturan itu yang disifatkan sebagai mengarut itu mendorong warganet menyarankan agar kawasan peranginan berkenaan diboikot sahaja.
Ia selepas tular video hebahan bergerak MPPD mengenai larangan pemasangan khemah di pantai awam Port Dickson.
Dalam hebahan tersebut dinyatakan pemasangan khemah dalam apa jua bentuk adalah dilarang di sepanjang pantai awam Port Dickson dan pemilik khemah diminta segera membuka khemah masing-masing.
Kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Perkongsian video tersebut di media sosial telah mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan peraturan berkenaan.
"Boikot je jangan bercuti ke PD... Banyak lagi tempat yang bagus dan cantik. Ini semua nak buat duit dan nak kontrol.
"Dulu pantai PD bebas dan boleh saja pasang khemah. Ini semua nak susahkan rakyat...Pantai itu ALLAH bagi free bukan manusia yang buat. Jom boikot!," luah seorang warganet.
Seorang lagi warganet turut berkongsi pengalamannya yang diminta membuka khemah yang dipasang tidak sampai satu jam berada di situ.
"Tak sampai sejam dah kena buka balik. Dua biji khemah flysheet dengan awning kereta. Semua dia suruh buka, padahal kami dah beritahu nak berkelah sahaja.
"Khemah itu untuk solat dan tidur anak-anak kecil. Selepas ini dah malas nak berkelah di PD," katanya.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat peraturan itu ditetapkan bagi mengekalkan kawasan pantai terbabit sentiasa bersih memandangkan sebelum ini ada yang berkhemah di kawasan pantai tidak menjaga kebersihan.
Ada juga menyarankan agar MPPD menyediakan satu kawasan khusus untuk pengunjung berkhemah.
Untuk rekod, peraturan seumpama itu bukanlah baharu, malah MPPD turut memasang notis di kawasan pantai terlibat, selain turut dihebahkan di laman Facebook rasminya.
Turut dinyatakan sebarang pelanggaran akan diambil tindakan di bawah undang-undang kecil taman (MPPD) 2008 yang boleh dikompaun sehingga RM1,000.
Larangan itu melibatkan, Pantai Tanjung Gemuk, pantai Batu 1, Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Batu 5, Pantai Teluk Kemang, Pantai Purnama, Pantai Cermin, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Dickson.
Larangan memasang khemah ditetapkan meliputi apa-apa jenis khemah yang menyerupai khemah dan sepertinya sama ada bermalam atau sekadar untuk berkelah atau riadah di siang hari adalah tidak dibenarkan.