23 tahun terpisah, sedih dapat tahu ayah sudah meninggal

Iklan
Perkongsian Khairun Adira berkenaan arwah ayahnya di TikTok.

SHAH ALAM - Hasrat seorang wanita untuk mencari bapa kandung yang terpisah sejak 23 tahun lalu melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertukar dengan tangisan kesedihan selepas mengetahui bapanya sudah meninggal dunia akibat sakit jantung pada 2022.

Kisah bermula apabila Khairun Adira Mohamad Rodzi, 25, mempunyai urusan pertukaran alamat rumah di JPN pada 28 Januari lalu dan secara spontan terfikir untuk mencari bapanya, Mohamad Rodzi Wateh.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ketika itu, dia bertanyakan kepada kerani bertugas mengenai prosedur untuk mencari orang yang sudah lama terpisah.

"Dia (kerani) tanya saya nak cari siapa? Saya cakap nak cari ayah sebab dah lama terpisah. Kemudian dia maklumkan banyak prosedur yang perlu saya lakukan termasuk dapatkan peguam dan sebagainya.

Iklan

"Saya memang sudah berniat daripada sekolah menengah untuk mencari ayah. Selepas pergi uruskan dokumen, saya pergi jumpa dan kemudian dia cakap, status ayah sudah meninggal.

"Bila saya dapat tahu, mengalir air mata depan kaunter itu. Saya bersungguh-sungguh nak cari dan bila dah ada niat, dapat tahu ayah sudah meninggal,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Hasrat seorang wanita untuk mencari bapa kandung yang terpisah sejak 23 tahun lalu melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertukar dengan tangisan kesedihan selepas mengetahui bapanya sudah meninggal dunia akibat sakit jantung pada 2022.

Khairun Adira yang menetap di Melaka berkata, dia tidak dapat menahan sebak sehingga terpaksa menelefon sepupunya untuk meluah dan menangis kerana ketika itu tiada siapa yang menemaninya.

Mengenang kembali zaman remajanya, Khairun Adira berkata, dia sering berasa cemburu dengan rakan-rakannya yang mempunyai bapa di sisi.

"Selalu nampak mereka ada ayah hantar, dapat peluk ayah, saya pula tak dapat macam orang lain. Rasa macam cemburu pun ada.

"Ketika di JPN, saya tak sempat nak tanya banyak kerana saya terlalu terkejut. Apa yang saya dapat hanyalah sijil kematian arwah ayah.

"Ketika itulah saya dapat tengok alamat terakhir arwah dan berniat untuk pergi cari kuburnya nanti. Saya cuma tahu alamat terakhir arwah ayah di Shah Alam, Selangor, serta kematiannya didaftarkan oleh adiknya iaitu bapa saudara saya,” ujarnya.

Ditanya mengenai rupa arwah bapanya, Khairun Adira yang merupakan anak tunggal dan menetap bersama ibunya berkata, dia tidak dapat mengingati rupa arwah kerana kali terakhir dia bersama bapanya ketika berumur dua tahun.

"Saya tak pernah jumpa dia semenjak itu, ingat muka pun tidak dan bila dapat tahu sahaja, memang terus saya rasa kehilangan. Maksudnya saya tahu, saya ada ayah dan bukan berbintikan Abdullah.

"Untuk makluman, saya ada juga cuba untuk mencari adik-beradik arwah ayah melalui TikTok dan sebagainya dan saya harap saya dapat temuinya nanti.

"Sekiranya arwah ayah masih ada, saya cuma nak cakap...adik nak sangat jumpa ayah, nak peluk dan cium ayah. Adik cemburu tengok orang lain ada ayah, semoga ayah tenang di sana, tunggu adik datang cari kubur ayah, adik sayang ayah walaupun ayah dah pergi,” ujarnya sambil menangis.