ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu menunjukkan keupayaan dalam menguruskan isu-isu asas di negeri ini terlebih dahulu yang dilihat masih belum selesai.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, perkara tersebut perlu diuruskan Muhammad Sanusi sebelum menggesa kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa pengurusan tanaman dan industri padi kepada kerajaan negeri bagi menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan.
Menurutnya, sebelum berbicara tentang penambahan kuasa, rekod Muhammad Sanusi sepanjang bergelar Menteri Besar Kedah perlu dilihat terlebih dahulu.
"Projek Mega Langkasuka di Langkawi, yang sepatutnya menjadi pemangkin kemajuan pulau tersebut dengan nilai pelaburan RM40 bilion, kini terhenti selepas pelabur utama, Bin Zayed International LLC menarik diri.
"Ini menimbulkan persoalan sama ada pentadbiran beliau benar-benar mempunyai keupayaan untuk menguruskan projek berskala besar atau sekadar gah berjanji tetapi gagal menunaikan komitmen,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dakwa Mohammed Taufiq lagi, nasib yang sama menimpa projek pembinaan litar lumba antarabangsa dan stadium di Sungai Petani, yang diumumkan dengan penuh gembar-gembur oleh kerajaan negeri tetapi kini terbengkalai.
Menurutnya, apabila dipersoalkan mengenai kegagalan projek-projek ini, Sanusi dengan mudahnya mencuci tangan dan menyatakan bahawa projek tersebut adalah inisiatif syarikat swasta dan bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.
"Sikap lepas tangan ini menimbulkan kebimbangan yang serius. Jika pengurusan tanaman dan industri padi diserahkan kepada beliau dan menghadapi kegagalan, yang berkemungkinan besar berdasarkan rekod prestasi beliau, adakah kita akan menyaksikan skrip yang sama?
"Adakah Sanusi sekali lagi akan menyalahkan pihak lain dan mendakwa ia bukan tanggungjawab kerajaan negeri? Sedangkan sebelum ini, dalam isu air di Kedah juga, kerajaan negeri gagal menyediakan pelan penyelesaian yang berkesan untuk rakyat, apatah lagi mahu mengambil alih sektor penting seperti tanaman dan industri padi yang melibatkan keterjaminan makanan negara,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Sungai Petani itu, sebelum menuntut kuasa tambahan, ada baiknya Muhammad Sanusi menunjukkan keupayaan dalam menguruskan isu-isu asas di negeri Kedah terlebih dahulu.
Katanya, rakyat mahukan kepimpinan yang bertanggungjawab dan berani mengambil akauntabiliti, bukan pemimpin yang sekadar membuat tuntutan tetapi enggan memikul amanah apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, isu kekurangan bekalan beras tempatan akan selesai sekiranya urusan tanaman dan industri padi diberikan kepada kerajaan negeri.
Beliau sebelum itu mendedahkan wujudnya kartel yang menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import menyebabkan ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran.