SEPANG – Polis telah menahan suspek yang juga suami kepada seorang wanita ditampar di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihak polis telah menangkap suspek sekitar jam 10 pagi pada Sabtu.
Beliau berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan di hadapan Klinik Fuziah, Kota Warisan.
"Polis akhirnya telah berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut sekitar jam 10 pagi ini.
"Suspek akan direman esok (Ahad)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, selepas kejadian tular itu, lelaki terbabit telah membawa isteri dan anaknya tidur di Nilai, Negeri Sembilan sebelum menghantarnya pulang.
Suami mangsa bagaimanapun keluar semula dari rumah dan tidak pulang selepas itu dipercayai takut ditahan pihak polis.
Sebelum ini tular satu rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah sambil memegang bungkusan plastik, sebelum seorang lelaki menghampiri dan menamparnya di khalayak ramai.