Kekal jual sate ayam, daging RM1 secucuk sejak 2023

Iklan
Antara pekerja di Kedai Sate Mastura di Jabi, Besut menyiapkan tempahan pelanggan. (Sate tulang (gambar kecil) dijual pada harga 70 sen sucucuk.)

BESUT - Sebuah kedai sate berusia lebih empat dekad di Jabi, di sini masih mengekalkan harga jualan sate ayam dan daging RM1 secucuk biarpun berdepan kenaikan harga barang.

Pemilik Sate Mastura, Norhisham Iberahim, 36, berkata, harga tersebut kekal dan tidak berubah sejak tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kenaikan sate di premis tersebut tidak begitu ketara sejak bapanya, Iberahim Dollah, 73, dan ibunya, Normah Mahmud, 66 mengambil alih premis tersebut daripada neneknya, Mas Awang yang meninggal dunia pada 1999.

Norhisham menyediakan sate yang ditempah pelanggan.

Iklan

"Kalau ikutkan setiap tahun berlaku kenaikan harga sebanyak 5 sen untuk jualan sate ini, yang menariknya ketika zaman nenek saya jual sate ini pada 1977, harga sate ketika itu hanya 10 sen sahaja secucuk bagi sate ayam dan daging.

"Kita pernah jual sate ini dengan harga 80 sen antara tahun 2017 hingga 2018 dan sebelum itu, pada 2015 kita jual sate ini pada harga 70 sen.

Iklan

"Sejak 2023 kita mula jual sate daging dan ayam pada harga sama iaitu RM1 secucuk. Sebelum itu kita jual sate ini dengan harga 90 sen pada 2022," katanya ketika ditemui Sinar Harian premis jualannya di Jabi, baru-baru ini.

Jelas Norhisham, dia kini terpaksa berfikir dua kali untuk menaikkan harga sate ayam dan daging daripada RM1 secucuk kepada RM1.10 disebabkan faktor peningkatan harga barang.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih di peringkat perancangan bagi memastikan mereka masih mampu menampung peningkatan kos bahan mentah.

Antara sate yang terdapat di Sate Mastura di Jabi, Besut.

Pada masa sama, katanya, pelanggan terutama golongan kurang berkemampuan perlu dijaga, menyebabkan mereka berada dalam dilema untuk menaikkan harga jualan makanan itu.

"Bulan Ramadan bagi kedai Sate Mastura amat istimewa kerana waktu itu kita akan bercuti selama sebulan dan hanya menyediakan sate dan kuah sejuk beku serta bersedia untuk tempahan musim perayaan.

"Setiap tahun selepas Ramadan kita akan kaji mengenai kos dan harga jualan sate ini bagi memastikan kita mampu untuk teruskan perniagaan ini," ujarnya.

Sate Mastura merupakan antara pelopor terawal jualan sate di kawasan itu bermula pada 1977.

Kedai Sate Mastura sentiasa dipenuhi pelanggan yang ingin mendapatkan sate pada harga murah.

"Jualan sate ini saya jalankan bersama bapa saya selepas saya berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman.

"Di kawasan Jabi ini hanya ada empat buah kedai sahaja yang menjalankan perniagaan sate di mana kawasan ini terkenal dengan jolokan sate Jabi," ujarnya yang mempunyai 10 pekerja.

Sate Mastura yang operasi bermula jam 2.30 petang hingga 9 malam setiap hari kecuali Selasa menyediakan lima jenis sate iaitu ayam, daging, hati, pedal dan tulang ayam.

"Setakat ini semua jenis sate dijual pada harga RM1 secucuk kecuali sate tulang ayam 70 sen bagi setiap sebatang.

"Sambutan kita terima ketika musim cuti sekolah atau perayaan agak luar biasa kerana perlu menyediakan hampir 4,000 cucuk sate sehari berbanding hari biasa antara 1,000 hingga 1,500 sate," ujarnya.