WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mengancam untuk mengenakan tarif ke atas produk Kesatuan Eropah (EU), dengan menuduh blok itu mengamalkan perdagangan tidak adil, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Bercakap di Rumah Putih pada Jumaat, Trump menegaskan beliau"pasti" akan mengenakan tarif ke atas barangan dari EU.
Trump berkata, AS diperlakukan dengan"teruk", sambil mendakwa pasaran Eropah sebahagian besarnya menutup pintu eksport Amerika.
"Mereka tidak menerima kereta kita, mereka hampir tidak menerima produk pertanian kita, mereka hampir tidak menerima apa-apa," katanya.
Beliau merujuk kepada defisit perdagangan yang besar antara AS dan EU, sambil berjanji untuk mengambil tindakan besar terhadap blok itu, walaupun tidak memberikan butiran lanjut.
Sepanjang kempen pilihan rayanya, Trump menyebut rancangan untuk mengenakan tarif baharu antara 10 hingga 20 peratus ke atas import dari EU, dengan alasan ia akan merangsang industri domestik dan menangani defisit perdagangan.
Ketika penggal pertama Trump sebagai presiden, AS dan EU terlibat dalam pertikaian perdagangan yang sengit.
Pada 2018, Trump mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium, yang mendorong EU membalas dengan mengenakan tarif ke atas produk AS seperti bourbon, motosikal Harley-Davidson dan jean.