Selangor mulakan pengajian STEM berasaskan al-Quran tahun ini

Iklan
Amirudin (dua dari kiri) ditemui ketika merasmikan majlis penutup Festival Seni al-Quran Antarabangsa Restu 2025 di Auditorium Sayyidah Khadijah Al-Kubri, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Shah Alam pada Sabtu.

SHAH ALAM - Selangor akan mula menerapkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan al-Quran terhadap 23 sekolah menengah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program yang dibangunkan oleh Yayasan Restu itu dirangka khusus untuk menghubungkan bidang STEM dengan nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran.

Iklan
Iklan

"Selain itu, ia juga bertujuan menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kebesaran ALLAH SWT melalui pendekatan saintifik.

"Kita akan mula tahun ini tetapi kita kena ambil masa. Tak boleh nak cakap mula esok atau lusa kerana ada proses, antaranya kita buat latihan kepada guru-guru, kenal pasti kandungan serta banyak lagi.

Iklan

"Bahagian Pendidikan Islam JAIS juga akan menilai model yang digunakan, tetapi insya-ALLAH tahun ini kita akan dapat laksanakan semua," katanya.

Amirudin (tiga dari kanan) melaksanakan gimik majlis penutup Festival Seni al-Quran Antarabangsa Restu 2025 di Auditorium Sayyidah Khadijah Al-Kubri, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Shah Alam pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Festival Seni al-Quran Antarabangsa Restu 2025 di Auditorium Sayyidah Khadijah Al-Kubri, Kompleks Seni Islam Antarabangsa di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Asyaharim Abdul Latiff serta tetamu kehormat lain.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya memerlukan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pelaksanaan program berkenaan di peringkat sekolah kebangsaan.

"Tetapi, 23 sekolah agama di bawah JAIS ini kita boleh terus laksana dan kita akan cuba serap dengan pendekatan melalui al-Quran serta latihan. Kalau kita buat di sekolah kebangsaan, ada yang bukan Islam.

"Jadi, lebih baik kita tumpu dekat sekolah di bawah JAIS untuk kita lihat impak serta kesannya. Kalau kesannya baik, selepas ini kita akan cuba tingkatkan pula pengajian dengan cadangan kepada guru-guru agama supaya memasukkan elemen STEM kepada pelajar.

"STEM ini kalau kita faham satu bahagian daripada sudut aplikasi pun bagus tetapi kalau faham juga susur galurnya termasuk apa yang terkandung dalam al-Quran lebih baik dan jadi lebih sempurna untuk dihayati oleh pelajar," katanya.