KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pembakaran mercun sepanjang 900 meter yang digantung pada Menara Kuantan 188, menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, acara itu memberi impak besar dalam mempromosikan Bandaraya Kuantan sebagai destinasi pelancongan.
"Kali ini, kita berjaya mengadakan satu inisiatif baharu sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di mana kita dapat mengumpulkan masyarakat yang pelbagai daripada pelbagai lapisan, kaum untuk kita meraikan perayaan itu bersama dengan pengisian yang begitu menarik.
"Salah satu acara yang menarik perhatian adalah pertunjukan mercun sepanjang 900 meter yang digantung pada menara," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina pada Sabtu.
Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan tersebut.
Baginda juga berkenan menggaul Yee Sang bersama tetamu jemputan, selain menyaksikan persembahan tarian singa dan pertunjukan lukisan.
Mengakhiri majlis, baginda turut berkenan membakar mercun yang digantung di menara pada ketinggian 188 meter.
Menara Kuantan 188 itu merupakan menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infiniti Indah, Datuk Omar Naresh Mohan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang.
Mengulas lanjut, Yu Man berkata, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini telah berjaya mencipta sejarah sebagai produk pelancongan ikonik yang menjadi perhatian ramai.
Jelasnya, sambutan perayaan bukan menyatukan masyarakat tempatan, tetapi juga menarik pelancong domestik dan antarabangsa, terutamanya sempena musim perayaan dan cuti ini.
"Saya difahamkan bahawa pada hari pertama dan kedua sambutan Tahun Baharu Cina, pasar yang diadakan telah menerima kunjungan pelancong dari luar negara, seperti dari China, serta pengunjung dari luar kawasan Pahang.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menyokong usaha untuk merancakkan sektor pelancongan khususnya di Kuantan," katanya.