KOTA KINABALU - Bantuan segera kira-kira RM25 juta diberikan kerajaan Persekutan amat diperlukan bagi membantu membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak dan terjejas akibat bencana di Sabah dan Sarawak.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan peruntukan tersebut kerana ia turut mengurangkan beban yang ditanggung mangsa-mangsa banjir.
"Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan bantuan segera ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis merangkumi bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada semua keluarga yang terkesan dengan bencana ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 14,209 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan bersiap sedia menghadapi bencana monsun timur (MTL).
"Antaranya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain-lain.
"Jumlah keseluruhan logistik pula ialah sebanyak 1,456 yang melibatkan logistik darat, air dan udara.
"Selain itu, semua pegawai daerah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah dibekukan cuti untuk menghadapi MTL pada kali ini," katanya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan, setakat jam 12 tengah hari Jumaat, seramai 5,725 mangsa dari 939 ketua isi rumah (KIR) dan 73 kampung terjejas banjir.
Sebanyak 39 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan 10 daerah terlibat bencana banjir iaitu Beaufort, Kota Marudu, Paitan, Beluran, Kota Belud, Lahad Datu, Tongod, Telupid, Sandakan dan Pitas.