KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang tukang rumah yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk membuat ugutan rogol dan bunuh bagi mempermainkan perasaan pelawak, Harith Iskander serta keluarga, dihukum penjara lima bulan termasuk denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Izzuddin Md Salim, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, S Mageswary.
Mahkamah memerintahkan lelaki bujang itu, dipenjara bermula tarikh tangkap 24 Januari lalu, dan sekiranya gagal membayar denda terbabit, dia dikehendaki menjalani hukuman penjara tambahan selama dua bulan.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa menghantar mesej berserta gambar, menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi kata-kata ugutan dalam bahasa Inggeris, yang membawa maksud tertuduh akan merogol dan membunuh anak perempuan pelakon itu.
Kiriman WhatsApp itu diterima oleh bekas isteri Harith, iaitu Dr Jezamine Lim, 42, di sebuah restoran nasi lemak, di Dang Wangi, pada jam 8.50 pagi, 23 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, selepas menerima mesej berserta gambar, Dr Jezamine membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri dan anak-anak, memandangkan ia membabitkan kes ugutan rogol serta bunuh.
Majistret: Kamu faham pertuduhan itu?
Izzuddin: Faham, niat saya hanya mahu mainkan perasaan Harith, tiada maksud lain.
Majistret: ini cara kamu main-main? Jadi keseluruhan kata-kata itu, kamu yang tulis?
Izzuddin: Ya, sebahagian sahaja, perkataan (ugutan) dalam bahasa Inggeris, saya guna AI.
Majistret: Kamu guna dalam WhatsApp, kemudian hantar?
Izzuddin: Ya, saya janji tidak akan mengulangi kesalahan ini selama-lamanya malah jika diberi peluang, saya mahu jumpa keluarga Harith untuk meminta maaf.
Majistret: Kamu tahu kesan dan risiko ditanggung oleh mangsa, jika kamu berkahwin dan memiliki anak, apa perasaan kamu jika ada orang ugut sebegitu?
Izzuddin: Saya akan marah.
Sementara itu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Qurratu Aini Zafirah Mat Shoib yang mewakili tertuduh, merayu supaya lelaki itu dikenakan hukuman ringan.
"Dia masih muda perlu menanggung ibu yang uzur, malah dia mengaku insaf serta tidak berniat untuk menyakiti sesiapa.
"Tertuduh wajar diberi peluang kedua, jadi saya rayu dia dikenakan hukuman denda sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.
"Alasan tertuduh hanya mahu memainkan perasaan Harith adalah tidak wajar sama sekali.
"Perkataan yang digunakan tertuduh menunjukkan akan mendatangkan bencana kepada anak pasangan itu,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Harith terpaksa membatalkan program 'Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter' di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) susulan beliau dan ahli keluarga menerima ancaman bunuh.
Ancaman itu dipercayai selepas pelawak terbabit memuat naik hantaran di media sosial yang cuba membuat jenaka mengenai topik ham, yang kemudian mengundang kecaman netizen kerana didakwa membuka ruang mempersendakan agama.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seorang suspek berusia 31 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan itu dibuat susulan pengurus pelawak terbabit yang juga bekas isterinya, Dr Jezamine Lim membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada jam 7.31 malam Jumaat.