SEREMBAN - Pasangan kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan, minggu lalu.
Tertuduh, Nurul Ain Haslan, 18, dan Muhammad Emer Irfan Hasren, 21, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dalam mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang bayi perempuan.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 21 Januari lalu antara jam 5.30 pagi hingga 4 petang bertempat di sebuah rumah di Teluk Kemang, Port Dickson.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun serta dikenakan sebatan sehingga 12 kali sekiranya tidak dihukum mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat, laporan kimia, laporan forensik, laporan perubatan penuh dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Februari ini di Mahkamah Majistret Port Dickson dan tiada jaminan ditawarkan berikutan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan pasangan berkenaan ditangkap polis di dua lokasi berasingan di Port Dickson dan menemui mayat bayi perempuan dalam sebuah beg di sebuah bilik di Taman Intan Perdana, Teluk Kemang.
Tangkapan dibuat berikutan pihak polis menerima panggilan kecemasan dari Hospital Port Dickson berkenaan maklumat seorang pesakit perempuan tempatan telah melahirkan anak tetapi bayi tersebut gagal dikesan.
Pemeriksaan lanjut telah dilakukan ke atas bayi perempuan yang sudah cukup sifat, namun telah disahkan mati dan terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada disyaki kesan objek tajam.