Anak bunuh ibu, sembunyi mayat berhari-hari dalam bilik

Iklan
Apriyanto didakwa membunuh ibu kandungnya dan membuang mayatnya di taman berhampiran rumahnya. Foto Agensi

SLEMAN - Seorang anak nekad membunuh ibu kandung sendiri dan menyimpan mayat selama beberapa hari sebelum membuangnya di taman terdekat.

Menurut laporan media JawaPos.com, suspek dikenali sebagai Apriyanto, 48, membunuh ibunya, SM, 76 dan kejadian tersebut terbongkar selepas mayat mangsa ditemui di sebuah taman pada 12 Januari lepas.

Iklan
Iklan

Kes tersebut bermula apabila anak mangsa yang lain, dikenali sebagai SP, pulang ke rumah dan mendapati pintu berkunci serta ibunya tidak dapat ditemui.

Berasakan ada sesuatu yang tidak kena, SP kemudian cuba menghubungi abangnya dan mencari mangsa di sekitar rumah.

Iklan

Seterusnya, pencarian berakhir kepada penemuan timbunan sampah daun kering yang didapati mempunyai kaki manusia dipercayai milik ibunya sendiri.

Ketua Polis Daerah Sleman, Kombes Edy berkata, selepas bedah siasat dilakukan, beberapa kesan luka ditemui pada badan mangsa yang menunjukkan kejadian keganasan telah berlaku sebelum ini.

Iklan

"Kami berasakan ini bukan kematian biasa. Setelah melakukan siasatan ternyata pelaku adalah anak kandung mangsa sendiri.

"Hasil siasatan mendapati, Apriyanto tinggal bersama ibunya dan motif pembunuhan disyaki kerana suspek marah dengan ibunya yang selalu meminta pertolongan.

"Sejak suami mangsa meninggal dunia pada 2013, dia sering meminta suspek mandikan atau menyikat rambutnya pada waktu malam. Walaupun sudah dibantu, dia tetap merungut dan ini mencetuskan kemarahan suspek sehingga menyerang secara melulu,” katanya pada Khamis.

Jelasnya lagi, difahamkan suspek telah mendera mangsa pada 29 Disember 2024 dan 1 Januari 2025.

Tambah Edy, selepas melakukan pembunuhan, Apriyanto tidak segera membuang mayat ibunya sebaliknya menyimpan di dalam bilik selama tiga hari.

"Apabila bau mula busuk dan lalat datang, dia cuba menghilangkan bau itu dengan menggunakan balsam, namun usahanya gagal.

"Disebabkan panik, suspek memutuskan untuk membuang mayat pada 10 Januari di taman terdekat dan mayat itu ditutup dengan semak serta daun kering sehingga akhirnya ditemui pada 12 Januari 2025,” ujarnya.

Pihak polis mendakwa Apriyanto di bawah Perkara 44 ayat (3) bersempena Perkara 5 huruf (a) Undang-undang Number 23 Tahun 2024 tentang Penghapusan Keganasan Rumah Tangga (KDRT) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.