SHAH ALAM - QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) bersama KFC Malaysia dengan bangganya meneruskan sokongan kepada Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS) sempena perasmian Persidangan Diraja mengenai Islam dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persidangan ini diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, yang juga Penaung Diraja RZS-CASIS.
Baginda menyampaikan titah diraja semasa sesi perasmian dan menyaksikan majlis penyerahan cek oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Nehchal Khanna kepada Naib Canselor UTM, Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Pengerusi UTM, Tan Sri Azman Mokhtar, serta Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang juga merupakan Pro-Canselor UTM.
Jamaludin berkata, sumbangan QSR Brands bersama KFC Malaysia kepada RZS-CASIS mencerminkan komitmen teguh dalam memupuk pertumbuhan intelektual dan pemahaman budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Komitmen kami terhadap kecemerlangan akademik selari dengan usaha berimpak tinggi oleh RZS-CASIS, yang merangkumi penyelidikan ilmiah, pemerkasaan ilmu Islam serta penerokaan bagaimana agama boleh berintegrasi dengan sains dan teknologi dalam dunia moden,” katanya.
QSR Brands telah menyumbangkan wakaf bernilai RM2 juta bagi menyokong pengembangan penyelidikan akademik, pembangunan ilmiah dan penerbitan RZS-CASIS yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan masyarakat, pendidikan berasaskan pandangan alam Islam serta memperkukuhkan pemahaman dan keterangkuman dalam komuniti.
Sementara itu, Nehchal Khanna, melahirkan rasa teruja dengan kerjasama tersebut yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan negara menerusi dialog pendidikan yang berimpak tinggi serta perkongsian ilmu antara ahli akademik dan sarjana.
"Kami amat berbesar hati untuk memperingati jalinan kerjasama ini serta memperkukuh dedikasi kami dalam menyokong penyelidikan dan perbincangan bermakna yang menegakkan nilai keadilan dan kemanusiaan,” katanya.