MERIAH betul lebuh raya kita sempena cuti Tahun Baharu Cina yang diraikan sejak beberapa hari lalu.
Dianggarkan sejumlah 2.6 juta kenderaan memenuhi jalan raya setiap hari pada musim perayaan ini.
Pakej itu datang bersama jutaan jenis sikap yang kita akan jumpa di sepanjang perjalanan sama ada di atas lebuh raya, hentian R&R, stesen minyak dan ketika berada berhampiran plaza tol.
Merak Jalanan juga antara mereka yang 'memeriahkan' lebuh raya ke utara baru-baru ini sebelum pulang semula ke Lembah Klang, dan tentunya melihat pelbagai ragam yang penuh warna.
Tidak mahu cerita bab diskaun tol, apa yang Merak Jalanan nak kongsikan adalah mengenai konsep syukur dengan nikmat apabila menggunakan kemudahan di lebuh raya.
Kita sudah berada pada tahun 2025, namun masih ada yang tidak tahu menggunakan banyak benda.
Tidak pandai guna tong sampah, tidak pandai pam tandas selepas guna, termasuk juga tidak pandai menyesuaikan diri dengan pemanduan dalam cuaca buruk.
Ada yang buang sampah menerusi tingkap kereta selepas parkir, sedangkan tong sampah ada disediakan betul-betul di depan bonet kereta mereka. Tetapi bila tengok kereta, cukup mewah dan bergaya.
Ramai juga yang nak ke susur keluar tidak beri isyarat sehingga mengelirukan kereta di belakang.
Itu belum kira memandu dengan laju ketika hujan lebat sehingga boleh merisikokan orang lain.
Kita sudah ada kemudahan yang baik dan selesa, walaupun kita bayar, tetapi kita perlulah bersikap matang. Segala kelengkapan itu bukan untuk kita seorang.
Tidak guna berkereta mahal, tapi sampah sendiri pun tak reti nak buang di tempat yang betul.
Orang kata, biarlah mentaliti sama standardnya dengan kereta.