PINDAAN Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang dibentang di Dewan Rakyat hujung tahun lalu memberi sinar baharu kepada pengguna internet di Malaysia.
Ini kerana, ia bakal menyediakan ekosistem internet yang lebih selamat dan lestari bagi semua pengguna, satu jaminan bahawa segala urusan menggunakan data selepas ini lebih ‘dipercayai’.
Dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini, kita sering berdepan dengan ‘bencana maya’ dengan pelbagai kes penipuan dalam talian, love scam, pelaburan tidak wujud dan pelbagai lagi.
Data Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menunjukkan aplikasi Telegram dikenal pasti menjadi medium paling utama kes penipuan pelaburan membabitkan 1,346 kes direkodkan tahun lalu dengan kerugian mencecah RM29.96 juta.
Siapa saja antara kita yang tidak menggunakan Telegram, paling tidak dalam kumpulan ibu bapa untuk persekolahan anak-anak, pasti ada yang menggunakan aplikasi ini.
Selain itu, Facebook mencatatkan 948 kes (kerugian RM153.3 juta), WhatsApp dengan 873 kes (RM165.5 juta) dan Instagram dengan 146 kes (RM24.3 juta).
Daripada jumlah di atas, tidak ada satu pun yang bernilai kecil, semuanya ratusan juta yang kita tidak dapat bayangkan bagaimana jika ia tidak ditangani dengan baik.
Justeru, pindaan pada undang-undang sedia ada berupaya mencapai keseimbangan antara hak bersuara dan hak untuk berasa selamat ketika menggunakan internet.
Perlu diingat, pindaan apa juga undang-undang berkaitan mesti berasaskan kepada ‘sifat internet’ iaitu sentiasa berubah dengan pantas.
Ini bagi mengelakkan berlakunya isu undang-undang lapuk dalam jangka masa mungkin kurang daripada empat atau lima tahun akan datang.
Sudah lama kita menantikan undang-undang berkaitan siber ini diperkasakan ketika hala tuju kehidupan rakyat di negara kita sudah beralih kepada digital sepenuhnya, tanpa tunai dan segala-galanya di hujung jari.
Paling tidak pun ia menjadi buah tangan kerajaan Madani kepada negara yang semakin hari berdepan kepesatan teknologi tanpa sempadan.
Datanglah teknologi secanggih mana pun, ia tidak menjejaskan apa-apa, kerana kita sentiasa bersedia setidak-tidaknya dari segi undang-undang.