PORT DICKSON - Pasangan kekasih yang disyaki menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian seorang bayi perempuan minggu lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, suspek gadis berusia 18 tahun dan pasangannya berusia 21 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Iklan
Iklan
"Pada Selasa lalu kertas siasatan telah pun dirujuk kepada pihak pendakwaan Negeri Sembilan dan telah mendapat arahan pertuduhan terhadap pasangan terbabit di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
"Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta dengan sebat tidak kurang 12 sebatan," katanya pada Khamis.
Media pada 22 Januari lalu melaporkan pasangan berkenaan ditahan polis di dua lokasi berasingan di daerah ini selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson mengenai seorang pesakit perempuan warga tempatan melahirkan anak tetapi bayinya gagal dikesan.
Siasatan lanjut yang dijalankan telah menemukan mayat bayi perempuan dalam sebuah beg di sebuah bilik di Taman Intan Perdana, Telok Kemang.
Selain itu terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada bayi disyaki kesan objek tajam.