PASIR PUTEH - Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggang hilang kawalan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta dalam kejadian di kilometer 23.5 Jalan Melawi- Kuala Besut dekat Kampung Dalam Rhu di sini, pada Khamis.
Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang berusia 19 tahun maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan kereta itu pada jam 1.12 pagi
"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Kemudian kereta jenis Toyota Vios dari arah Besut dipercayai telah melanggar mangsa sehingga menyebabkan kemalangan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan mangsa maut di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala manakala pemandu kereta berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kata beliau, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zaizul Rizal memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan boleh terus ke balai berdekatan atau menghubungi talian 013-6706156," katanya.