REMBAU - Seorang jurutera tapak maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pancit di Kilometer 237.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kejadian jam 3.20 petang itu membabitkan sebuah motosikal Honda ADV 160 ditunggang lelaki berusia 40 tahun dan kereta Kia Optima.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati, mangsa seorang lelaki dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang, sampai di tempat kejadian telah hilang kawalan.
"Motosikal yang ditunggangnya telah melanggar bahagian belakang kereta yang diletakkan di lorong kecemasan kerana tayar pancit," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal jatuh di atas jalan dan maut di tempat kejadian selepas parah di kepala.
"Pemandu kereta dan dua penumpangnya termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.