YAN - Pesawah di Sungai Limau Dalam di sini, mendakwa ramai dalam kalangan mereka mula mengambil keputusan beralih bidang kerja lain ataupun menyewa sawah kepada orang lain disebabkan bebanan kos tanaman padi yang meningkat.
Pesawah, Mohd Hafidz Ismail, 41, berkata, dia bagaimanapun tetap mengusahakan sawah dengan menyewa kira-kira 11 hektar sawah daripada penduduk tempatan.
Menurutnya, namun dia bimbang lebih ramai pesawah tidak lagi mahu mengusahakan tanaman berkenaan sekiranya kerajaan tidak menaikkan harga lantai padi kepada RM1,800.
"Lebih baik mereka kerja lain, sekurang-kurangnya boleh dapat RM1,500 sebulan daripada kerja di sawah pendapatan tidak menentu.
"Saya sewa serelung RM1,000, untuk semusim saya perlukan modal RM45,000 tapi selepas ditolak pelbagai kos kami hanya cukup-cukup makan, hendak jadi kaya tidak boleh," katanya ketika ditemui pada Himpunan Aman Kenaikan Harga Padi, di Sungai Limau Dalam di sini pada Rabu.
Mohd Hafidz antara 50 petani di Sungai Limau Dalam yang merayu kerajaan membuat keputusan segera untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan agar industri padi negara terus bertahan.
Tambah Mohd Hafidz, rata-rata pesawah memperoleh pendapatan kira-kira RM800 sebulan sahaja.
"Sekiranya padi diserang penyakit atau bencana langsung tiada pendapatan, kami akan tanggung rugi dan hutang yang tinggi," katanya.
Seorang lagi pesawah, Esomuddin Abdul Wahab, 52, berkata, dia yang mengusahakan kira-kira 16 hektar sawah hanya mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
Menurut Esomuddin, dia juga terpaksa mengambil upah meracun sawah secara manual sebanyak RM15 bagi setiap 0.29 hektar untuk kelangsungan hidup dan menanggung dua anaknya yang kini menyambung pelajaran di universiti.
Katanya, pesawah banyak berhutang dengan tauke kilang padi untuk menanam padi dan makan walaupun ada yang kelihatan seperti orang senang.
"Selepas kerat padi, kami bayar balik, begitulah putaran hidup pesawah, kami boleh bernafas sikit apabila anak-anak bekerja," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, ramai pesawah sebenarnya yang berpendapatan kira-kira RM350 sebulan disebabkan terbeban dengan pelbagai kos yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, beliau berkata, inisiatif mengadakan memorandum tuntutan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan dilaksanakan untuk memastikan kudrat pesawah dihargai.
Tegas beliau, usaha terbabit tidak didalangi mana-mana pihak atau parti-parti politik, sebaliknya mereka datang sebagai pesawah agar suara didengari.
Beliau memohon supaya kerajaan segera membuat keputusan kerana padi kini sudah mula dituai, bagaimana pesawah terus hidup dengan pendapatan yang di bawah garis kemiskinan.
Pada Isnin lepas, kira-kira 500 petani dan pesawah dari seluruh Semenanjung Malaysia berhimpun di Putrajaya untuk mendesak kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan.