Op Khas TBC 2025: Enam pemandu bas positif dadah

Iklan
Aedy (kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas pemeriksaan tayar dilakukan ke atas sebuah bas di Terminal Bersepadu Selatan, pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas di seluruh negara bagi mempertingkat pematuhan sepanjang tempoh Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan ini diambil bagi memastikan pemandu bas kompeten dan berhemah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, JPJ bersama AADK telah melaksanakan saringan ujian urin terhadap 420 pemandu bas.

"Hasil saringan mendapati enam pemandu bas positif dadah.

Iklan

"JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Op Khas TBC di Terminal Bersepadu Selatan di sini pada Selasa.

Aedy (tengah) dan Azmi (kanan) melaksanakan tinjauan Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 di Terminal Bersepadu Selatan, pada Selasa.

Beliau berkata, menerusi operasi yang dilaksanakan sejak 20 Januari lalu, sebanyak 6,605 bas di 54 buah depoh dan 28 buah terminal utama di seluruh negara diperiksa.

Iklan

Katanya, sebanyak 635 notis ke atas kenderaan awam bas dikeluarkan melibatkan antaranya 410 saman, 98 notis larangan penggunaan kereta motor, arah periksa (90 notis), permintaan butir pemandu (16 notis) dan selebihnya lain-lain kes.

"Bagi kesalahan saman, isu teknikal paling banyak direkodkan iaitu 120 kes antaranya tayar botak.

"Pemandu memberi alasan tidak sempat cek dan lupa hendak tengok (tayar). Sepatutnya pengusaha bas juga perlu pastikan segala peralatan dalam keadaan baik," ujarnya.

Tambah Aedy, pihaknya juga melaksanakan penyamaran sebagai penumpang bagi mengenal pasti kesalahan pemandu bas di seluruh negara.

Azmi (kanan) meninjau proses ujian saringan air kencing ke atas pemandu bas di Terminal Bersepadu Selatan, pada Selasa.

"Terdapat pelanggaran etika sebagai pemandu kenderaan perkhidmatan awam dengan melakukan beberapa kesalahan seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memandu melebihi empat jam tanpa pemandu kedua.

"Ada pasukan khas yang membuat penyamaran dan tindakan ini sedikit sebanyak beri kesan kepada pemandu dan pengusaha syarikat kerana mereka sedar mengenai operasi ini," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa berkata, banyak alasan diberi pemandu yang didapati positif dadah ini.

"Ada yang beritahu mengenai tempoh bekerja, penat dan mahu tambah trip.

"Setakat ini kebanyakan dadah digunakan jenis amphetamine," ujarnya.