SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Memetik laporan New Straits Times, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan siasatan tersebut dan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat tersebut dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.
Katanya, beliau membuat keputusan tersebut kerana mendapati kosnya terlalu tinggi dan projek terbabit mungkin tidak mematuhi proses perolehan yang betul.
"Kami mengambil dakwaan ini dengan serius dan mengarahkan unit integriti untuk menyiasat dakwaan perolehan yang tidak wajar.
"Kami komited untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam semua urusan DBKL. Jika terdapat sebarang salah laku, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya pada Selasa kepada media berkenaan.
Ujar beliau, unit integriti dalam proses mendapatkan fakta untuk menentukan sama ada proses tadbir urus dipatuhi.
Tambah Maimunah, DBKL juga masih mengumpul maklumat dan bukti berhubung perkara itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya termasuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas SPRM berhubung isu berkenaan.