MINGGU lepas, Merak Jalanan dengan empat rakan singgah makan di sebuah restoran yang popular dengan hidangan kari kepala ikan.
Oleh kerana kami sampai ketika ramai orang pada jam 12.30 tengah hari, tempat yang agak sempit itu dipenuhi ramai pelanggan yang tidak sabar mahu menikmati keenakan kari yang dihidangkan panas-panas.
Nak dijadikan cerita, usai makan, Merak Jalanan pergi ke tandas di restoran itu, manakala seorang lagi rakan membersihkan tangan di sinki yang terletak berhampiran dapur.
Bermulalah episod perut yang kenyang tiba-tiba menjadi mual.
Ruang dapur restoran yang sedikit terbuka membolehkan kami melihat di dalamnya.
Mata kami tertumpu kepada tong sampah yang dibiarkan hampir penuh dengan sisa makanan, lantai yang basah sedikit berlecak serta susun atur yang berselerak.
Dek kerana jarak dekat, hidung Merak Jalanan dapat menangkap bau tengik dari dapur.
Sudahlah begitu, kacang soya yang diperap di dalam bakul diletakkan di atas lantai di hadapan tandas.
Lantai premis pula berlumut dan menjijikkan.
Merak Jalanan memang sensitif dengan premis makanan kotor ini.
Apatah lagi apabila tahu ada tempat yang sudah banyak kali diserbu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan, tapi masih boleh beroperasi dan ulang perangai lama.
Merak Jalanan rasa sudah sampai masanya Kementerian Kesihatan tidak berlembut dengan restoran kotor ini.
Biasanya hukuman adalah kompaun dan notis arahan tutup premis selama 14 hari untuk tujuan pembersihan.
Selepas tempoh itu, mereka boleh buka semula jika sudah dibersihkan.
Apa kata selepas ini heret sahaja pengusaha restoran kotor ini ke mahkamah.
Soal kesihatan berkaitan dengan kebersihan. Kalau makanan dihidangkan tak bersih, sudah tentu akan mengundang penyakit kepada pelanggan.