SINGAPURA - Kenaikan paras laut global disebabkan perubahan iklim boleh mencecah sehingga 90 sentimeter (cm) lebih tinggi berbanding anggaran awal menjelang akhir abad ini.
Amaran itu diberikan menerusi penyelidikan terbaharu oleh Nanyang Technological University (NTU) di Singapura selepas badan sains iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan paras laut boleh meningkat antara 0.6 meter (m) dan satu meter pada 2100 jika tiada tindakan segera diambil untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Tetapi, kajian NTU yang dilaporkan Straits Times memberi senario yang berbeza iaitu kenaikan antara 0.5m dan 1.9m.
Ia berdasarkan kaedah ramalan baharu yang menggabungkan data pelengkap daripada pelbagai model unjuran paras laut dengan pendapat pakar.
"Pendekatan 'gabungan' ini memberikan gambaran yang lebih jelas dan lebih dipercayai tentang kenaikan paras laut masa depan,” ujar NTU pada Isnin.
Penyelidik NTU dengan kerjasama saintis dari Delft University of Technology di Belanda menganggarkan di bawah senario pelepasan gas rumah hijau yang rendah yang mana pemanasan global adalah kira-kira 1.8 darjah Celsius, paras laut boleh meningkat antara 0.3 dan satu meter.
Sebagai perbandingan, Panel Antara Kerajaan PBB mengenai Perubahan Iklim (IPCC) telah meletakkan angka itu sehingga 0.6m.
Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal saintifik Earth's Future pada Disember 2024.
Felo penyelidik kanan di Sekolah Sains Fizikal dan Matematik NTU, Dr Benjamin Grandy yang mengetuai kajian itu memaklumkan pendekatan baharu itu menangani isu utama dalam sains paras laut memandangkan unjuran paras laut semasa bergantung pada pelbagai kaedah untuk memodelkan proses iklim.
Model iklim dan kepingan ais contoh terbaik untuk mensimulasikan fenomena yang dikaji dengan baik seperti pencairan glasier.
Tetapi, mereka sering mengabaikan proses yang kurang difahami yang boleh menyebabkan lapisan ais mencair lebih cepat daripada jangkaan seperti keruntuhan pelantar ais secara tiba-tiba.
"Tidak semua model mengambil kira kejadian yang tidak pasti, menghasilkan unjuran berbeza-beza yang menyukarkan untuk menganggarkan kenaikan paras laut ekstrem,” ujar Grandy.
Disebabkan oleh kesamaran dalam unjuran ini, unjuran IPCC adalah berdasarkan 66 peratus kemungkinan kenaikan paras laut akan jatuh dalam julat yang dinyatakan pada masa depan.
"Unjuran pada tahap lebih tinggi menggariskan keperluan kepada pembuat keputusan untuk merancang infrastruktur kritikal dengan sewajarnya,” tambahnya.
Maklumat berharga
Kenaikan paras laut disebabkan oleh pencairan ais darat di kutub dan pengembangan air laut yang lebih panas, kedua-duanya didorong oleh pemanasan global serta lapisan ais di Greenland dan Antartika mencair pada kadar pantas.
Kenaikan paras laut digabungkan dengan air pasang, ribut dan banjir pantai merupakan risiko yang berpotensi terutamanya bagi komuniti pesisir pantai dan pulau.
Pantai pula akan dilanda hakisan dan air laut juga berisiko memasuki sumber air tawar, sekali gus menjejaskan bekalan air minuman dan pertanian.
Di bawah kes yang ekstrem, lonjakan ribut disebabkan oleh taufan dan siklon boleh memburukkan lagi banjir di pesisir pantai dan memusnahkan rumah serta infrastruktur di laluannya.
Penyelidik percaya bahawa kaedah baharu mereka menyediakan maklumat berharga kepada perancang bandar dan kerajaan serta membantu mereka merancang dan melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi komuniti yang berisiko tinggi.
Profesor Madya, Justin Dauwels dari Universiti Teknologi Delft yang terlibat kajian itu menyatakan bahawa kaedah gabungan mereka juga boleh digunakan untuk meramalkan banjir di kawasan pesisir pantai, kelemahan infrastruktur dan kesan ekonomi yang disebabkan oleh perubahan iklim.
Difahamkan, penyelidikan itu disokong Yayasan Penyelidikan Kebangsaan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) di bawah inisiatif pembiayaan Program Paras Laut Kebangsaan.
Kebimbangan semakin meningkat selepas kira-kira 30 peratus daripada kawasan daratan Singapura adalah kurang daripada 5m di atas aras laut purata.
Menurut kajian perubahan iklim negara ketiga yang diterbitkan pada 2024, purata paras laut boleh meningkat sebanyak 23cm dalam senario terbaik atau sebanyak 1.15m dalam senario terburuk menjelang 2100.
Jika penggunaan bahan api fosil meningkat secara mendadak, paras laut di sekitar Singapura boleh meningkat sekitar 2m menjelang 2150. - Agensi