Taktik sorok rokok seludup gagal, ESSCOM serbu koloni setinggan

Iklan
Rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di kawasan koloni setinggan di Kampung Bakau, Lahad Datu.

LAHAD DATU - Taktik penyeludup menyimpan rokok seludup di kawasan koloni setinggan gagal mengaburi mata pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) apabila satu serbuan dibuat di Kampung Bakau di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam serbuan bermula kira-kira jam 3 pagi itu, pelbagai jenama rokok bernilai hampir RM872,000 berjaya dirampas dan dua individu berusia 35 hingga 45 tahun dipercayai dalang kegiatan itu turut ditahan.

Iklan
Iklan
Bot yang dirampas dipercayai sebagai pengangkutan kegiatan menyeludup rokok di Lahad Datu.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, serbuan dibuat hasil maklumat awam berhubung kegiatan penyeludupan rokok di kawasan koloni setinggan perkampungan atas air di daerah ini.

"Hasil pemeriksaan di kawasan rumah tidak bernombor itu membawa kepada penemuan sebanyak 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis dan 440 bungkusan kecil tembakau yang membabitkan nilai anggaran selepas cukai sebanyak RM871,854.40.

Iklan

"Dalam operasi ini juga turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga bot enjin sangkut dipercayai digunakan oleh penyeludup tersebut.

"Selain itu, seorang wanita dan lelaki warga Filipina turut ditahan dipercayai aktif menjalankan aktiviti penyeludupan rokok di daerah ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Susulan operasi itu, Victor berkata, dua individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan kes penyeludupan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambah beliau lagi, operasi itu menunjukkan komitmen dan jaminan ESSCOM dalam mengurangkan Jenayah Rentas Sempadan (JRS) di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

"Ingin saya tegaskan bahawa ESSCOM sentiasa memantau dan akan terus memperhebat operasi-operasi khas seperti ini.

"Khususnya dalam usaha kita menjejak anasir asing bagi mengekang sebarang elemen yang boleh menggugat keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam terutama di kawasan di pantai timur Sabah," katanya.