KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datin Seri Rosmah Mansor menuntut ganti rugi RM1 juta daripada seorang pemilik akaun TikTok kerana mengeluarkan kenyataan fitnah, mendakwa isteri bekas Perdana Menteri terbabit mengamalkan ilmu hitam.
Menerusi afidavit sokongan, Rosmah, 74, selaku plaintif mengemukakan saman menerusi Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak pada 19 September 2023 lalu.
Beliau menamakan Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, selaku defendan, selepas lelaki yang mempunyai seramai 1,584 pengikut itu, memuat naik satu rakaman video akaun Tiktok menggunakan nama 'CEO Heelmie Fighter' mengandungi kenyataan tidak benar pada 22 Mac tahun sama.
Rosmah berkata, jumlah ganti rugi itu wajar memandangkan kenyataan fitnah tersebut telah memusnahkan kredibiliti, nama baik dan reputasinya.
Beliau memohon, ganti rugi itu mengambil kira status, latar belakang, pencapaiannya selain mempertimbang reputasi sebagai figura yang dikenali serta penaung kepada beberapa badan amal di negara ini telah tercalar.
"Kenyataan defendan secara nyata merujuk kepada saya bagi maksud bahawa saya dikaitkan dengan aktiviti yang melibatkan syaitan dan bomoh.
"Ia juga menggambarkan penampilan saya dikaitkan dengan perbuatan syirik, syaitan dan sering mengamalkan perbuatan syirik," katanya.
Rosmah berkata, kenyataan fitnah tersebut telah menjejaskan hubungannya dengan orang ramai termasuk rakan-rakan, kerana ada segelintir mula meragui kemampuannya untuk memberikan perkhidmatan terutamanya kepada badan-badan amal serta kebajikan.
Katanya, segelintir rakan-rakan juga telah menjauhkan diri mungkin kerana mereka bimbang akan terpalit dengan imejnya yang telah tercalar.
Pada 28 Mei tahun lalu, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar terhadap defendan, di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah, selepas Ku Muhammad Hilmie gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.
Selepas sesi pengurusan kes pada Selasa, mahkamah menetapkan 27 Mei depan untuk prosiding taksiran ganti rugi.