Fasiliti 344 institusi pendidikan MARA akan terus dipantau

Iklan
Asyraf Wajdi

KUANTAN - Fasiliti di 344 institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus dipantau secara berterusan bagi memastikan keselesaan dan kebajikan guru serta pelajar.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemantauan dan penambahbaikan fasiliti di institusi-institusi pendidikan tersebut akan dilaksanakan dengan lebih fokus dan terperinci.

Iklan
Iklan

"MARA ada 344 institusi pendidikan termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), German-Malaysian Institute (GMI) dan lain,Insya-ALLAH (jika) ada ruang dan waktu kita akan pergi (memantau) secara menyeluruh.

"Jadi, kita letak keutamaan kepada perkara yang menjadi asas kepada keselesaan dan kebajikan warga institusi pendidikan MARA itu sendiri," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sijil Tamat Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) kepada 124 pelajar sesi 2024/2025 di Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), Tanjung Lumpur, pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Sri Profesor Dr Noorul Ainur Mohd Nur, dan Naib Canselor UCYP, Datuk Dr Muhammad Fauzi Mohd Zain.

Iklan

Asyraf Wajdi memaklumkan terdapat beberapa MRSM yang telah diterjah sebelum ini berada dalam keadaan fasiliti yang sangat teruk, seperti yang dikongsikan melalui media sosial.

Beliau berkata, bagaimanapun proses penambahbaikan fasiliti di institusi berkenaan semakin menunjukkan perkembangan positif.

"Kita telah memberi mereka masa, dan sudah tiba masanya untuk saya melihat sejauh mana perkembangan yang telah dicapai," katanya.