SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menghentikan tindakan berbaur ugutan seperti merampas komputer riba milik sebuah portal berita serta merancang untuk mengakses sistem pengurusan kandungan (CMS) organisasi media.
Gerakan Media Merdeka (Geramm), National Union of Journalists Malaysia (NUJM), Twentytwo13 dan Persatuan Wartawan Malaysia (PWM) dalam satu kenyataan bersama berkata, tindakan sedemikian dilihat kejam, malah SKMM sepatutnya menghormati hak asasi kebebasan media.
Menurut kenyataan tersebut, wartawan mesti bebas daripada sebarang intimidasi, gangguan dan ancaman jenayah untuk menjalankan tugas profesional mereka.
"Malaysiakini telah dimaklumkan bahawa kegagalan mematuhinya akan menjadi satu kesalahan. Ini boleh dilihat sebagai paksaan yang menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan media dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.
"Tindakan dilaporkan bagi membantu siasatan melibatkan bekas menteri, Khairy Jamaluddin mewakili keterlaluan kuasa yang berbahaya.
"Pihak berkuasa seolah-olah menyasarkan organisasi media yang melaporkan kenyataan fitnah sepertimana didakwa oleh Khairy. Ini menunjukkan trend menakutkan dengan mengenakan langkah perundangan untuk menyekat laporan kritikal, ubah wartawan menjadi 'saksi' sambil mengancam kerahsiaan mereka,” katanya pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan polis merampas sebuah komputer riba daripada portal sebuah berita bagi membantu siasatan terhadap kes Khairy.
Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selesai mengambil keterangan daripada ketua editor portal berita berkenaan iaitu RK Anand mengenai perkara tersebut.
Portal berita itu juga diarahkan untuk hadir di ibu pejabat SKMM bagi membolehkan pegawainya mendapatkan butiran terperinci.
Antara individu yang menyokong kenyataan bersama terbabit ialah Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Kolumnis, Datuk Dr Chamil Wariya; Wartawan Veteran, Datuk A Kadir Jasin serta beberapa lagi wartawan sambilan.
Kenyataan bersama itu berpandangan, siasatan terhadap Khairy adalah kes mudah dan pihaknya percaya penyitaan peralatan bilik berita serta tuntutan untuk akses data sensitif yang mungkin termasuk maklumat mengenai sumber kewartawanan tidak perlu sama sekali.
Jelasnya lagi, langkah sedemikian sama seperti taktik intimidasi yang terang-terangan bertujuan menyekat keupayaan media dalam melaksanakan peranan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
"Tindakan ini menjejaskan asas demokrasi dan mengingatkan amalan autoriti, bukannya negara demokratik moden.
"Kesucian media mesti dipelihara untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kesihatan demokrasi Malaysia.
"Kami juga menuntut kerajaan supaya mengambil langkah yang perlu untuk melindungi kebebasan dan keselamatan pengamal media. Akhbar bebas bukanlah satu keistimewaan, tetapi tiang demokrasi serta sebarang serangan terhadapnya melanggar hak orang ramai di negara ini,” ujar kenyataan itu.