KUANTAN - Seorang wanita warga Indonesia didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan memiliki kad pengenalan mengandungi maklumat palsu semasa diperiksa pada 26 Januari lalu.
Tertuduh, Indah Aryani, 36, turut berdepan hukuman 10 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Hukuman ke atas ibu kepada empat anak itu dibuat Majistret Tengku Eliana Tuan Kamarulzaman manakala pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Burhanuddin Hamzah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga seorang peniaga didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11 malam di Lot 24 Lorong Pak Mahat, Kampung Kempadang di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, hukuman diperuntukkan adalah penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali.
Sementara itu, berdasarkan fakta kes dikemukakan, pada masa dan tarikh berkenaan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Negeri Pahang telah menjalankan satu operasi di kawasan perumahan beralamat Lot 24 Lorong Pak Mahat, Kampung Kempadang di sini atas aduan awam.
Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas tertuduh, wanita itu telah menyerahkan satu pasport Indonesia atas nama Indah Aryani.
Semakan melalui alat unit terminal mudah alih mendapati cap ibu jari tertuduh merujuk kepada penama lain.
Tertuduh telah diminta oleh pihak JPN untuk mengeluarkan kad pengenalan dan tertuduh telah menyerahkan dokumen tersebut untuk diperiksa sebelum ditahan.
Hasil siasatan, tertuduh mengaku membeli sijil kelahiran atas nama seorang wanita dan menggunakan dokumen tersebut untuk mendapatkan kad pengenalan.
Tertuduh turut mengaku namanya Indah Aryani seperti yang tertera pada pasport Indonesia miliknya.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman ke atasnya berbentuk denda minimum.
Wanita itu memberi alasan terpaksa menanggung empat anak dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan manakala suaminya kini berada di penjara.