Prospek sektor O&G kekal positif walaupun harga minyak goyah - MIDF

Iklan
MIDF optimis sebaik saja dasar tenaga AS dilaksanakan sepenuhnya, syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan O&G Malaysia dapat meneroka peningkatan permintaan terhadap penyelesaian cari gali serta pengangkutan bahan api. - Gambar hiasan

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) mengekalkan unjuran positif terhadap sektor minyak dan gas (O&G) walaupun terdapat kemungkinan berlakunya ketidaktentuan harga minyak mentah berikutan pengeluaran berlebihan.

Dalam nota tinjauannya hari ini, MIDF optimis sebaik saja dasar tenaga Amerika Syarikat (AS) dilaksanakan sepenuhnya, syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan O&G Malaysia dapat meneroka peningkatan permintaan terhadap penyelesaian cari gali serta pengangkutan bahan api.

Iklan
Iklan

Langkah penyahkawalseliaan itu juga berpotensi membuka peluang pelaburan baharu bagi Malaysia untuk menembusi sektor tenaga Amerika Utara, sekali gus meningkatkan peluang bagi tujuan usaha sama dan perdagangan.

"Bagaimanapun, ketidaktentuan kekal menjadi impak jangka panjang peningkatan pengeluaran minyak AS, kesan alam sekitar susulan penerokaan yang tidak dikawal selia serta kebergantungan rendah ke aras peralihan tenaga dan gangguan rantaian bekalan daripada langkah AS meningkatkan usaha pengeluaran domestiknya,” katanya.

Iklan

Laporan sebelum ini menyatakan Presiden Donald Trump yang baru dilantik memegang jawatan itu untuk kali kedua, baru-baru ini, telah mengeluarkan arahan eksekutif bagi menangani isu tenaga AS, termasuk pengeluaran yang dihadkan serta harga tenaga yang tinggi.

Arahan berkenaan mengutamakan peningkatan usaha cari gali dan pengeluaran bahan api fosil, pertambahan kadar tarif perdagangan serta penyahkawalseliaan dasar berkaitan iklim dan alam sekitar.

Iklan

MIDF berkata, dalam senario AS meningkatkan lagi pengeluarannya sepertimana ketika penggal pertama Presiden Trump (kira-kira 7.0 peratus lebih tinggi berbanding pentadbiran Barack Obama sebelumnya), harga minyak mentah berkemungkinan susut berikutan peningkatan bekalan yang berpotensi menurunkan harga tenaga di negara maju itu.

"Menerusi tindakan ini, kami menjangkakan pemain minyak utama dapat mengurangkan kos operasi mereka, seterusnya meningkatkan keuntungan dan pertumbuhan ekonomi.

"Pengeluaran AS yang lebih tinggi akan turut mengurangkan kebergantungan AS kepada minyak asing, terutama dari Kanada selain meningkatkan aspek keterjaminan tenaganya," katanya.

Dalam keadaan harga minyak mentah yang lebih rendah, MIDF berkata, dua faktor utama dapat mengawal minyak mentah Brent dalam julat AS$70-AS$80 setong iaitu dasar monetari Rizab Persekutuan AS dan pengurangan bekalan berterusan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+).

"Ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan Eropah Timur misalnya, walaupun masih utama, mempunyai kesan terhad terhadap pergerakan harga minyak, terutama selepas pengumuman sekatan minyak Rusia baru-baru ini yang gagal mengekalkan harga melebihi AS$80 setong bagi tempoh lama," katanya. - Bernama