SHAH ALAM – Lima syarikat Malaysia bakal memuktamadkan urus niaga bernilai hampir RM2 bilion bersama rakan niaga masing-masing di Makkah sempena Makkah Halal Forum 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Februari ini di Arab Saudi.
Syarikat terbabit ialah Jaman Tory Group Sdn Bhd, A&A Empire Sdn Bhd (Bokitta), Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn Bhd.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, penyertaan kali ini bukan sekadar untuk pameran dan penerokaan pasaran sebaliknya menjadi platform penting memadankan perniagaan Malaysia dengan pasaran eksport.
“Ini bukan setakat pergi buat pameran dan penerokaan, tapi buat pertama kalinya, KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) melalui Bank Rakyat melaksanakan program bimbingan dan pengupayaan memadankan perniagaan Malaysia dengan pasaran eksport sehingga berjaya,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, program berkenaan berjaya membantu syarikat Malaysia merealisasikan potensi nilai jualan hampir RM2 bilion melalui platform tersebut.
Steven Sim turut menekankan bahawa Arab Saudi yang menerima kira-kira 30 juta pelawat antarabangsa setiap tahun merupakan pasaran strategik serta pintu masuk penting untuk memperkenalkan produk dan jenama Malaysia kepada komuniti global, khususnya dalam ekosistem halal yang berkembang pesat.
Bank Rakyat sebagai agensi di bawah KUSKOP menyokong inisiatif itu melalui penyediaan kemudahan pembiayaan bagi memperkukuh keupayaan kewangan syarikat terbabit dalam melaksanakan pengembangan pasaran ke Timur Tengah.
Kelima-lima syarikat berkenaan juga merupakan pelanggan sedia ada dalam ekosistem Bank Rakyat dan dipilih berdasarkan tahap kesediaan eksport serta potensi pertumbuhan di peringkat antarabangsa.
Program rintis itu akan diteruskan bagi membimbing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia lain menembusi pasaran domestik dan luar negara sejajar dengan Strategi ABCD yang diperkenalkan oleh menteri berkenaan.
Strategi ABCD merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran digariskan sebagai empat teras utama KUSKOP bagi memperkukuh daya saing perniagaan tempatan menjelang 2026 dan tahun-tahun seterusnya.